Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Isteri kepada ulama terkenal Bahrain yang juga Setiausaha Agung parti pembangkang al-Wefaq menegaskan anak perempuannya berkemungkinan tidak diberi kerakyatan kerana suaminya sedang menjadi tahanan politik.
Menurut portal Ra'y al-Youm (راي اليوم), Ulya Radhi (Isteri Sheikh Salman) mengeluh di laman sosial Twitter, "Hari ini anak perempuanku Sarah genap setahun dalam keadaan jauh dari ayahnya Sheikh Ali Salman, dan tidak diizinkan untuk mendapatkan kerakyatan kerana ayahnya menjadi tahanan."
Tambah Ulya Radhi lagi, "Nasib anakku Sarah sama seperti kebanyakan anak-anak yang tidak diberi hak kerakyatan di Bahrain tanpa melakukan sebarang dosa atau jenayah... Hak mendapatkan kerakyatan merupakan jaminan dalam semua konvensyen antarabangsa sedangkan halangan untuk anak-anak kami tanpa pengwajaran adalah sebuah jenayah."
Selain itu, senarai nama bayi baru lahir yang dihalang mendapatkan kerakyatan kerana ayahnya dilucutkan warganegara atas sebab politik telah tersebar.
Sementara itu, pemerhati hak asasi manusia Bahrain telah mendesak kerajaan Bahrain membebaskan 347 kanak-kanak yang berada dalam tahanan pihak berkuasa rejim. Status kerakyatan kanak-kanak itu juga sudah terancam setelah kewarganegaraan bapa mereka dilucutkan.