Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Setelah disoal siasat, salah seorang anggota pengganas IS (Islamic State) yang ditahan Polis Diraja Malaysia mengaku bahawa mereka ingin menjadikan beberapa orang menteri sebagai sasaran utama serangan kumpulannya.
Dalam satu sidang media, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan bahawa beliau adalah antara pemimpin yang akan dijadikan sasaran kumpulan pengganas IS, lapor The Star Online Mac lalu.
“Saya mengesahkan bahawa IS menyasarkan pemimpin-pemimpin kita, tetapi ancaman itu tidak akan menghalang kita daripada terus memerangi keganasan dalam negara dan rantau ini,” katanya kepada wartawan.
“Kami mendapat tahu tentang pelan induk mereka apabila menyoal siasat seorang ahli mereka, Murad Halimuddin (yang telah didakwa dan dipenjarakan).
“Murad berkata mereka mahu menculik seorang pemimpin yang mereka anggap sebagai taghut (orang-orang yang melintasi sempadan agama).
“Mereka juga mengancam untuk mengambil tindakan terhadap pegawai polis dan tentera yang mereka lihat sebagai menyokong pemimpin taghut,” kata pegawai itu, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Hishammuddin mengingatkan bahawa serangan maut di Paris pada 13 November lalu menunjukkan ancaman pengganas IS adalah serius.
“Usaha bersepadu diperlukan dari semua negara untuk memerangi kumpulan pengganas, termasuk mereka yang ingin mengembangkan pengaruh mereka di rantau ini,” katanya sambil menambah bahawa objektif utama IS adalah untuk mewujudkan huru-hara di kalangan orang awam, lapor TheRakyatPost.
Murad Halimmuddin Hassan yang sedang menjalani proses hukuman penjara 18 tahun yang berasal dari Pendang adalah pengusaha kedai perkakasan menghadapi dua pertuduhan iaitu mempromosi dan memberi sokongan kepada perbuatan keganasan kumpulan IS.
Anaknya, Abu Daud turut didakwa mempromosi perbuatan keganasan kumpulan yang sama dan sedang menghadapi hukuman penjara 12 tahun.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berpakat mempromosikan keganasan di negara ini di no. 61, Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang, antara 30 Januari dan 5 April lalu.
Semua mereka sebelum ini ditangkap pada 5 April lalu di sekitar Kuala Lumpur kerana merancang menculik orang kenamaan, merompak senjata api di balai polis dan kem tentera, selain turut merancang meletupkan pusat hiburan dan menyerang bangunan kerajaan.
Hakim Kamardin Hashim menjatuhkan hukuman itu terhadap Murad Halimuddin Hassan, 49, dan anaknya, Abu Daud Murad Halimuddin, 25, setelah mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mempromosikan perbuatan keganasan di Malaysia yang bertentangan dengan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan di No. 61, Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang, Kedah antara 30 Januari hingga 5 April lalu.
Menurut laporan media Malaysia, Murad pernah terlibat dalam konflik di Afghanistan, Sulawesi dan terakhir di Syria. Dia juga dikatakan salah seorang perancang utama percubaan melakukan jenayah bersenjata di Balai Polis Guar Cempedak pada tahun 2001.
Murad meninggalkan negara ini pada tahun lalu untuk menyertai ISIS di Syria dan pulang pada bulan Disember