15 Disember 2015 - 03:37
PAS akan seret Mat Sabu ke muka pengadilan

PAS berhasrat menyeret Mohamad Sabu yang mendakwa parti tersebut telah diresapi fahaman militan

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - PAS (Parti Islam Semalaysia) cawangan Pulau Pinang dijangka akan menyeret Presiden Pati Amanah Nasional (PAN), Mohamad Sabu ke muka pengadilan berikutan keengganannya memohon maaf setelah mendakwa bahawa PAS diresapi fahaman militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), lapor Berita Harian, di Goergetown.

Setiausaha PAS negeri, Iszuree Ibrahim, berkata pihaknya akan berbincang dengan kepemimpinan PAS Pusat untuk memuktamadkan keputusan mengenai tindakan undang-undang terhadap Mat Sabu.

Katanya, perbincangan itu akan membabitkan beberapa pihak dalam parti, termasuk Jawatankuasa Undang-Undang PAS dan peguam yang dilantik parti. "Kita (PAS negeri) sedang menunggu maklum balas mengenai perkara ini daripada PAS Pusat. Keputusan mengenainya tidak dapat dimuktamadkan secara terus di peringkat negeri kerana ada batas tertentu," katanya ketika dihubungi BH, semalam. Sabtu lalu, Mat Sabu menegaskan pihaknya tidak akan menarik balik kenyataannya yang mendakwa PAS diresapi fahaman militan IS, selain menyifatkan tiada keperluan untuk berbuat demikian. Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu Susulan dakwaan itu, Mat Sabu menerima pelbagai kritikan daripada kepemimpinan PAS, selain tindakannya itu disifatkan sebagai langkah terdesak bagi mengembalikan kerjaya politiknya yang runtuh, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab. Sebelum ini, PAS membuat laporan polis terhadap Mat Sabu dan Naib Presiden PAN, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa, bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat terhadap tindakan 'jahat' dua pemimpin PAN terbabit.