MUZLIZA MUSTAFA
(Kuala Lumpur) Presiden Aswaja Zamihan Mat Zin Al-Ghari menerima ugutan bunuh melalui Facebook, daripada seorang lelaki di Bayan Lepas, Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Februari, 2016.
Penceramah agama Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata beliau menerima ugutan bunuh kali ke-2 dalam tempoh setahun berikutan pendirian lantangnya terhadap Syiah, Wahabi dan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu berkata, ancaman terbaru dibuat melalui Facebook daripada seorang lelaki di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Zamihan yang juga seorang penjawat awam berkata beliau akan membuat laporan polis mengenai perkara itu esok.
"Saya tidak kenal orang itu. Saya diberitahu tentang perkara ini oleh seorang kawan saya," kata Zamihan.
Beliau berkata, individu yang hanya dikenali sebagai Nasru Ahmad itu dikatakan menulis komen: "Isytihar halal je darah nate zamihan ni.. sapa2 nak bunuh.. maka bunuh je.. benci nengok org gila macam dia.."
Zamihan berkata ini bukan kali pertama beliau menerima ancaman bunuh melalui Facebook.
Ancaman pertama diterima beliau tahun lepas adalah daripada seorang guru di Lahad Datu, Sabah.
"Saya sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu dan tidak menerima sebarang maklumbalas daripada pihak polis sejak itu," katanya, sambil mempersoalkan mengapa ada yang memberi ancaman bunuh hanya kerana perbezaan pendapat.
"Hujah dia ialah, saya membawa masuk ajaran yang berbeza dari fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah," kata Zamihan.
Beliau mendakwa guru itu juga berkata kematiannya akan melambangkan kemenangan kepada mereka yang mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Perbezaan hanya dari segi pendapat dan aliran pemikiran, tetapi mengapa saya harus dibunuh?" soal beliau.
Pegawai agama berusia 40 tahun itu berkata, selain daripada dua ancaman bunuh yang diterimanya di media sosial itu, beliau juga menerima ancaman serupa daripada suspek militan yang menjalani proses pemulihan di penjara.
"Mereka mengancam hendak bunuh saya kerana cuba bantu mereka. Saya beritahu mereka, bunuhlah, boleh saya mati syahid," katanya.
Zamihan baru-baru ini terperangkap dalam kontroversi debat terbuka mengenai ekstremisme agama antara beliau dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Program itu bagaimanapun dibatalkan pada saat akhir berikutan "arahan dari pucuk pimpinan negara".
Zamihan pula kemudiannya dipindahkan dari Kementerian Dalam Negeri ke bahagian sumber manusia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). – 20 Februari, 2016.