4 Mac 2016 - 15:57
Polis Sepanyol rampas 20,000 uniform militan

20,000 uniform tentera yang dipercayai akan dikirim kepada kumpulan militan ISIS dirampas

MADRID 4 Mac – Polis Sepanyol merampas kira-kira 20,000 uniform tentera yang dipercayai akan dihantar kepada kumpulan pelampau yang beroperasi di Syria dan Iraq, bulan lalu.

Menurut kenyataan polis, uniform tersebut ditemukan dalam tiga kontena di pelabuhan Valencia dan Alicante yang terletak di timur negara ini pada bulan lalu selepas polis mendapat maklumat tentang satu operasi penyeludupan senjata kepada kumpulan pelampau yang berselindung di sebalik misi bantuan kemanusiaan.

“Polis telah melancarkan siasatan sejak 2014 terhadap “pertubuhan asing” yang menyediakan bantuan logistik kepada militan IS dan kumpulan sayap Al-Qaeda di Syria, Barisan Al-Nusra.

“Tujuh individu ditahan semasa rampasan itu dilakukan pada bulan lalu,” jelas kenyataan itu. – Berita Harian