4 Mei 2016 - 16:32
Makam puteri Imam Hasan al-Askari dibina semula setelah dimusnah ISIS

Tentera Iraq memaklumkan pembinaan semula kompleks permakaman anak-anak perempuan Imam Hasan al-Askari (a.s) yang telah dimusnahkan oleh militan ISIS

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Komandan Operasi Samarra memaklumkan pihaknya telah membangunkan semula sebuah kompleks bersejarah yang dikaitkan dengan anak-anak perempuan Imam Hasan al-Askari, di Timur Samarra yang telah dimusnahkan oleh militan ISIS tahun lalu.

Imad al-Zuhairi berkata, "Setelah Samarra dibersihkan dari pencemaran kumpulan pengganas ISIS, makam anak-anak Imam Hasan al-Askari (yang masyhur dengan "Maqbarah Banat al-Hasan") yang terletak di 10 kilometer dari kota Samarra telah dibina."

Berasaskan kebanyakan sumber Sunni dan Syiah, satu-satunya anak Imam Hasan al-Askari ialah Imam Mahdi (a.s). Namun terdapat juga pandangan yang lain. Sebahagiannya mengatakan beliau mempunyai 3 orang anak lelaki dan 3 orang anak perempuan. Terdapat juga sumber yang mendakwa anak-anak perempuan Imam Hasan al-Askari bernama Fathimah dan Dilalah, manakala yang lain mendakwa mereka bernama Fathimah dan Aisyah.

Setakat ini kerajaan Iraq dan Syria telah berjaya mematahkan banyak percubaan pengganas untuk memusnahkan beberapa makam di Iraq dan Syria. Tindakan memusnahkan makam-makan orang yang soleh giat dilancarkan kumpulan pengganas seperti al-Qaeda dan ISIS kerana fahaman Wahhabi yang dianuti mereka mengharamkan sebarang pembinaan di atas kubur.