Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Ayatullah Sofi Gulpaigani dalam pertemuan bersama petugas dan pegawai tadbir Amar Makruf Nahi Munkar kota Qom menekankan kewajipan perlaksanaan kedua perintah Allah ini. Beliau mengingatkan, "Amar Makruf dan Nahi Munkar adalah wajib Kifayah. Jikalau kedua perintah Allah ini tidak diambil peduli, kita akan bertanggung jawab di mahkamah Allah nanti".
Beliau menambah, "Barangsiapa yang melihat kemungkaran atau maksiat, maka ia mempunyai tanggung jawab untuk memberikan peringatan, meskipun kemungkaran itu terjadi di luar negara, ia hendaklah menyatakan kebenciannya".
Marji' Taqlid Syiah ini menegaskan, "Tidak terkecuali siapa pun, ciri-ciri asli seorang mukmin ialah ia tidak akan mendiamkan diri apabila kemungkaran berlaku".
Ayatullah al-Uzma Sofi Gulpaigani menegaskan, "Kehidupan masyarakat sekarang ialah melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Munkar yang sebenar. Tidak sepatutnya seorang manusia memandang remeh terhadap kedua perintah Allah ini".
Sesiapa pun akan dipersoalkan bagaimanakah ia melaksanakan tanggung jawab Amar Makruf dan Nahi Munkar di muka pengadilan hari kiamat nanti. Menurut Ayatullah Sofi, "Sebagaimana betapa pentingnya memerangi kemungkaran dalam masyarakat, seperti itu juga pentingnya membesarkan kemakrufan sehingga amalan ini mendorong seseorang itu menjalankan kedua kewajiban ini".
Ayatullah al-Uzma Sofi Gulpaigani menyatakan, "Jikalau sebuah gagasan masyarakat tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk, maka masyarakat itu tidak akan makmur dan sentosa".
Marji' taqlid ini mengkritik tentang pergaulan lelaki dan perempuan, pengabaian hijab, pengiriman atlet perempuan ke pertandingan olahraga yang dianggapnya sebagai penyakit terhadap budaya masyarakat. Tambah beliau lagi, "Peniruan budaya barat hanyalah mendatangkan kerosakan. Hendaklah kerosakan ini disingkirkan".
"Kita hidup di dalam negara Islam, budaya dan pemikiran kita adalah Syiah. Oleh kerana itu, hendaklah urusan yang berkaitan dengan Islam dilaksanakan dengan tegas dan diambil perhatian sepenuhnya" kata beliau lagi.
Di akhir ucapannya beliau mengucapkan takziah atas kematian tokoh Amar Makruf dan Nahi Munkar, As-Syahid Ayatullah Sa'idi, bekas imam jumaat Qom. "Ayatullah Sa'idi salah seorang ulama tersohor dan syahid di jalan menegakkan Amar Makruf dan Nahi Munkar". Ujar beliau lagi.