12 Mei 2011 - 19:30

Seorang penceramah bebas berfahaman Wahabi turut diundang membentangkan kertas kerja seminar!

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Dengan pendekatan yang sangat ekstrim, seorang pembentang kertas kerja berfahaman Wahabi dalam Seminar Penjelasan Fahaman Syiah yang dianjurkan oleh pihak berkuasa agama tempatan telah mengusulkan agar hubungan dengan Iran diputuskan.

Beliau dalam pembentangan kertas kerja Bahaya Syiah Kepada Akidah, Syariah, Akhlak dan Negara telah membawa sejumlah bahan untuk membuktikan bahaya tersebut. Tanpa memberi penerangan, pembentang tersebut langsung menyerang Syiah sambil mengingatkan negara-negara Syiah tidak boleh didekati seolah-olah Iran bukan negara Islam yang perlu dimusuhi, lebih dari negara bukan Islam.

Tindakan pihak berkuasa agama tempatan mengambil pembentang seminar daripada seorang berfahaman Wahabi ini menimbulkan tanda tanya apakah Wahabi berada di balik penangkapan 128 pengikut Syiah di Hawzah Imam Ridha Sri Gombak pada Disember tahun lalu?. Malahan melalui ucapan bekas pengarah JAIS pada malam penangkapan tersebut kepada wartawan jelas menunjukkan tuduhan-tuduhan tersebut mirip dengan serangan dan fitnah yang rancak disebarkan oleh Wahabi sedangkan ajaran Syiah tidak seperti yang mereka khayalkan.

Meskipun begitu Ahli Dewan Undangan Bangi Dr. Shafie yang turut hadir memberikan beberapa kesimpulannya terhadap seminar itu dengan mengenepikan serangan panel Wahabi tersebut. Berikut adalah kesimpulan yang diambil dari Akhbar Sinar Harian:

1.    Umat Islam mewarisi sejarah yang diperturunkan bergenerasi, termasuk konflik antara qabilah. Contoh antara Bani Hashim dan Bani Abdul Muttalib, konlik Ali-Muawiyah (pembelaan terhadap Ali dan keturunan) membawa kepada kelahiran khalifah-khalifah turunan Umayyah dan Abbasiah. Kelahiran aliran-aliran pendekatan keilmuan dan fahaman yang mewariskan kepada generasi. Inilah yang umat warisi.
2.    Untuk kepentingan dalaman, kebenaran pegangan dan kelicinan pentadbiran, kita bersetuju aliran syiah dan berbagai aliran lagi yang merosakkan kesatuan pegangan perlu dibendung dengan anakmen perundangan dan tindakan perlu diambil bagi mempastikan kesatuan dan kesejahteraan.
3.    Kelompok agama ialah orang yang amat prihatin terhadap kesucian agama. Terkadang mengambil pendekatan menyerang. Tetapi dalam hubungan dengan Syiah perlu dihadkan kepada batasan dalam Negara. Perlu juga berlapang dada. Banyak implikasi jika serangan dibuat pada peringkat antarabangsa dan global. Jika tindakan negatif diambil, kita kerugian dari segi ekonomi, kepentingan umat dan hubungan antarabangsa. Kita takut kita terperangkap dalam percaturan politik Barat-Amerika yang mau memecahbelahkan umat Islam dan menguasai ekonomi Negara-negara Islam.
4.    Elak dari bermusuh sesama Negara Islam. Jika kita memusuhi negera yang mendukung Syiah seperti Iran, Iraq dan Pakistan, dan memusuhi Arab Saudi misalnya kerana Wahabinya, maka bagaimana kita mau tegakkan kesatuan umat Islam pada peringkat global. Kita perlu berlapang dada dan tasamuh. Kita kira inilah sikap yang diambil oleh OIC, walaupun organisasi ini dilihat lemah, tetapi kita jangan memencilkan diri atau dipencilkan.
5.    Selalu bersifat positif. Carilah titik persamaan dan jangan mempertajamkan perbezaan. Adalah menjadi harapan tertinggi mau melihat kesatuan umat, kesatuan pendekatan dan tindakan. Tetapi harapan tidak semudah tindakan dan inilah menjadi cabaran umat kini dan masa hadapan. Kita seharusnya sama berada di atas landasan ini.

Seminar tersebut telah dilangsungkan di Intekma Resort & Convention Centre, Shah Alam, Selangor bermula jam 8.00 pg - 5.00 ptg dan 4 kertas kerja telah dibentangkan.

Negeri Selangor sebelum ini pernah mengiktiraf mazhab Syiah Imamiyah (Mazhab Ja'fari), namun bertukar memerangi Syiah setelah memfatwakannya sebagai sesat pada tahun 1998. Fitnah terhadap pengikut Syiah Imamiyah semakin meluas sejak kebelakangan ini.


{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ}[الحجرات: 12]


Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. - Surah al-Hujurat ayat 12.