8 November 2013 - 20:30
Salafi/Takfiri akan menyerang Syiah dan Ahlusunnah Mesir

Sumber keselamatan Mesir memberi amaran tentang kemungkinan tercetusnya serangan jemaah Salafi/Takfiri sekiranya penduduk Mesir meneruskan niat mengadakan majlis kedukaan sempena hari kesyahidan Imam Husain (a.s) pada hari Khamis depan.


مسجد الحسين ع

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Jemaah Takfiri atau lebih dikenali sebagai Wahabi memberi amaran akan menumpahkan darah Syiah dan Ahlusunnah di seluruh Mesir sekiranya mereka cuba menghidupkan majlis mengenang peristiwa Ashura. 

Kumpulan pelampau tersebut turut mengeluarkan kenyataan berbunyi "قائدنا يزيد وعدونا الحسين" (Pemimpin kami ialah Yazid dan musuh kami ialah al-Husain).

Menurut sumber keselamatan yang dipetik laman sesawang 'Al-Shuruq', pasukan keselamatan tidak akan memperuntukkan perlindungan untuk sebarang majlis-majlis Asyura melainkan para pengikut Ahlul Bait (a.s) perlu sedar sendiri tentang bahaya yang bakal menimpa mereka terutamanya di tempat perhimpunan yang terpencil.

Sumber tersebut turut menekankan kekhuatiran berulangnya jenayah pembunuhan para pengikut Ahlul Bait (a.s) di Zawiya Abu Musallam daerah Giza sehingga ulamanya Syeikh Hasan Shehata terkorban bersama tiga orang yang lain pada bulan Jun lalu. Dalam kes bunuh tersebut mayat mereka diseret dan dijadikan tontonan umum oleh jemaah Wahabi yang disokong negara Arab Saudi.

Penduduk Mesir yang terkenal dengan mencintai Ahlul Bait Nabi (s.a.w) akan mengadakan ritual mereka di berbagai tempat seperti di Masjid Saidina Al-Husain (a.s), Masjid Sayyidah Zainab dan Masjid Sayyidah Nafisah.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa baru mengumumkan penangkapan dalang di sebalik pembunuhan Syeikh Hasan Shehata dan rakan-rakannya. Menurut Mejar Jeneral Mahmoud Farouk, Pengarah Siasatan Jenayah Negara, siasatan menunjukkan salah seorang dalangnya selama ini bersembunyi dalam sebuah pondok, di sebuah kawasan pertanian. Pihak berkuasa berjaya memberkasnya dalam satu serbuan.

Sumber keselamatan dari Giza pula menyatakan bahawa dalang yang menjadi punca utama dalam kes pembunuhan Hasan Shehata, senjata bewarna putih yang dibawanya dan perbuatan menghasut penduduk kampung untuk mempamerkan jasad ulama tersebut telah terakam dalam beberapa video yang menjadi bahan bukti kes.

Golongan Salafi/Takfiri di Mesir telah bertanggung jawab dalam banyak serangan terhadap pasukan keselamatan, tentera dan majlis sosial anjuran penduduk awam.