18 Disember 2013 - 20:30
Jakim jahil tentang Syiah

Pernyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bahawa amalan Syiah berkembang di Tanah Melayu selepas revolusi Islam Iran menunjukkan agensi kerajaan itu tidak memahami Syiah - K Pragalath

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Penulis Malaysia Today, K Pragalath menyifatkan penegasan Jakim pada 14 Disember lalu bahawa ajaran  'Syiah Imamiyah Ithna Asyariyyah' atau 'Imam Dua Belas' aktif selepas revolusi Islam 1979 sebagai salah fakta.

Berasaskan tulisan beliau, kajian antropologi dan sosiologi menunjukkan pengikut Syiah sudah wujud di Tanah Melayu sejak berkurun lamanya sebelum tercetus revolusi Islam Iran.

Sebagai bukti kejahilan Jakim, beliau merujuk kepada jurnal bertajuk “The Malaysian Shi’a: A Preliminary Study Of Their History, Opprsssion and Denied Rights” di dalam Journal Of Shi’a Islamic Studies Jilid 6,No 4, 2013, yang menegaskan bahawa ajaran Syiah tiba di Malaysia seawal abad ke-tujuh ketika dunia Melayu menerima Islam, sedangkan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) pula tiba ke alam Melayu dalam abad ke 13.

Menurut beliau lagi, bukti paling kukuh berkenaan kedatangan pengaruh Syiah ini wujud di dalam Batu Bersurat Terengganu.  Batu bersurat ini juga menunjukkan bukti kedatangan terawal Islam ke Tanah Melayu.  Ia berusia lebih 700 tahun dan menggunakan skrip tulisan Jawi.

Bukti pengaruh Syiah di dalam Batu Bersurat Terengganu ialah perkataan ‘Santabi’ atau ‘Sahabi’.  Kajian dari sudut bahasa terhadap perkataan tersebut menunjukkan bahawa ia kata pinjaman dari Bahasa Sanskrit, ‘Sanabhya’ yang bermaksud hubungan darah.

Berdasarkan penterjemahan ini jelas terdapat pengaruh Syiah di dalam Batu Bersurat Terengganu kerana ia tidak merujuk kepada para sahabat Nabi Muhammad saw tetapi ahli keluarga baginda.

Antara tuduhan yang kerap dilontar terhadap masyarakat ialah yang berkaitan dengan solat.  Ada yang mendakwa bahawa Syiah hanya solat tiga waktu dan langsung dituduh bertentangan dengan rukun Islam kedua. Namun Fiqh Jafari di dalam ajaran Syiah menyatakan bahawa Syiah juga menunaikan solat lima waktu.  Yang berbeza hanyalah waktu solat.