11 Julai 2014 - 12:28
Dua roket dari Lubnan dilancarkan ke arah Israel

Dua roket yang dilancarkan dari Lubnan dilaporkan telah mengenai Israel sehingga menyebabkan pasukan rejim Zionis bertindak balas dengan serangan altileri.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Berasaskan sumber dari Israel, kedua-dua roket tersebut dari jenis Katyusha. Jurucakap tentera Israel berkata, salah satu roket jatuh di sebuah padang di Kfar Yuval, antara kota Metula dan Kiryat Shmona. Media Israel sebaliknya melaporkan kedua-dua roket Katyusha tersebut jatuh di kawasan Barat Kiryat Shmona dan salah satunya mengenai sebatang jalan sepi.

Agensi Berita Lubnan (NNA) pula melaporkan kedua-dua roket tersebut telah dilancarkan ke kawasan pendudukan Israel pada pukul 6:30 waktu tempatan dari kawasan Hasbaya, Lubnan.

Sementara itu, jurucakap itu berkata, pihak tentera telah membalas serangan itu dengan tembakan altileri manakala sumber keselamatan Lubnan telah mengesahkan pelancaran roket tersebut ke arah Israel.

"Israel membalas serangan dengan melancarkan 25 tembakan meriam di kawasan Kfar Shuba," kata sumber keselamatan Lubnan kepada AFP sambil merujuk kepada sebuah kampung yang terletak di Selatan negara tersebut.

Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan dalam insiden ini.

Hingga kini tiada kumpulan yang mengaku bertanggung jawab atas serangan roket terbabit. Walau bagaimanapun tentera Israel berkata serangan tersebut telah dilancarkan oleh gerakan Palestin yang bersolidariti dengan Hamas yang sedang berkonfrontasi dengan tentera rejim Zionis sekarang.

Pesawat Israel dan dronenya dilaporkan telah menggempur lebih dari 600 kawasan di semenanjung Gaza sejak Selasa lalu sehingga menyebabkan lebih dari 100 orang terbunuh.

Lebih 20,000 tentera Israel telah dikerahkan untuk melakukan serangan darat secara besar-besaran ke atas Gaza sekarang ini.