28 November 2014 - 14:48
Perhimpunan Agung UMNO tayang bukti kekejaman ISIS

Menteri Dalam Negeri berhasrat memberi pendedahan serius terhadap ancaman militan ISIS yang sudah bertapak di Selatan Filipina.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Kuala Lumpur, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka bertindak menayangkan video dan foto kekejaman militan ISIS Sabtu ini sebagai peringatan bahawa kumpulan militan yang kejam itu benar-benar wujud.

“Kita nak tunjuk yang kalau tak bersatu-padu inilah jadinya. Ancaman ini adalah benar.

"Jika mereka boleh membunuh orang Islam, mereka juga boleh membunuh bukan Islam. Inilah yang kita mahu cegah daripada berlaku di Malaysia,” katanya selepas bertemu dengan pemimpin Hamas di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika mengulas Kertas Putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)’ yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen.

Kertas Putih itu antara lain mencadangkan undang-undang baharu bagi membanteras pembabitan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan dan keganasan, selain memperkasakan beberapa undang-undang keselamatan sedia ada.

Jelas Ahmad Zahid, penayangan video dan gambar kekejaman IS itu bukanlah bermaksud menakut-nakutkan rakyat, sebaliknya pihaknya mahu mereka sedar tentang bahaya yang boleh dicetuskan kumpulan militan berkenaan.

Tambahnya lagi, ISIS sudah menjalinkan kerjasama dengan kumpulan militan di selatan Filipina, Abu Sayyaf, dan telah berbai’ah mengenainya.

Berbeza dengan Muktamar Parti Islam Semalaysia (PAS) pada bulan September lalu, perwakilan ulama Norazli Musa bertindak memberikan penghormatan kepada beberapa anggota pengganas yang terbunuh di Syria.

Selain itu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan juga anak kepada Mursyidul Am PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz pernah mengeluarkan kenyataan kontroversinya dengan mengatakan pengganas Lotfi Ariffin mati dalam keadaan syahid di Syria.

Pada bulan Mei lalu seorang radikal Muslim yang merupakan Timbalan Mufti Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin turut menentang istilah militan yang digunakan untuk pengganas.

Sementara pemerintahan Negeri Perlis yang terletak di Utara Malaysia dikatakan telah jatuh ke tangan penganut aliran Wahabi yang sering dikaitkan dengan ideologi keganasan. Mufti negeri tersebut baru-baru ini telah mengeluarkan fatwa kontroversi mengharamkan kalimah istighasah "Al-Madad Ya Rasulallah" sedangkan rekod sejarah menceritakan pengikut aliran ini pernah menumpahkan darah umat Islam semata-mata kerana perbezaan pandangan.