21 Oktober 2016 - 08:24
Siapkan Senarai Keperluan Kamu: Duta Moscow Di Filipina.

Selepas presiden Filipina mengumumkan 'perpisahan' dengan A.S, Duta Moscow di negara itu berkata bahawa negara yang diwakilinya bersedia untuk memberikan bantuan dan kerjasama penuh kepada Manila.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Selepas presiden Filipina mengumumkan 'perpisahan' dengan A.S, Duta Moscow di negara itu berkata bahawa negara yang diwakilinya bersedia untuk memberikan bantuan dan kerjasama penuh kepada Manila.

"Siapkan senarai keperluan kamu. Apa sahaja bentuk bantuan yang kamu perlukan daripada Rusia dan kami sedia untuk duduk dan berbincang bersama kalian sambil melihat apa yang boleh dilakukan," kata Duta Moscow, Igor Khovaev kepada GMA News pada hari Jumaat.

Beliau juga dilaporkan berkata bahawa Rusia sedia untuk bekerjasama dengan Filipina dalam apa bidang sekalipun.

Duta itu juga menegaskan bahawa kerajaan negaranya tidak akan campurtangan dalam urusan dalaman sebuah negara berdaulat yang lain sambil berkata bahawa 'Rusia yang sebenar' adalah sesuatu yang berbeza daripada apa yang dibayangkan oleh Hollywood.

Khovaev juga menyatakan bahawa rakyat kedua-dua negara sememangnya berhak untuk mengenali satu sama lain dengan lebih baik.

Beliau juga berkata bahawa Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev benar-benar kagum dengan keperibadian presiden Filipina setelah kedua-duanya bertemu dalam sebuah mesyuarat yang berlangsung di Laos pada bulan lepas. Beliau juga berkata bahawa Moscow menyokong perjuangan presiden itu di dalam membenteras dadah serta jenayah di negara Asia Tenggara tersebut.