17 November 2016 - 16:21
Filipina Mungkin Ikuti Jejak Rusia Tinggalkan ICC: Duterte.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata bahawa negara beliau mungkin akan mengikuti jejak Rusia dalam meninggalkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata bahawa negara beliau mungkin akan mengikuti jejak Rusia dalam meninggalkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Menjelang lawatan beliau ke Lima, Peru, Duterte mengatakan bahawa tribunal antarabangsa itu tidak berguna sama sekali dan hanya mampu untuk menguatkuasakan keputusannya ke atas negara-negara kecil seperti Filipina. Beliau akan ke Peru untuk menyertai sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada Khamis ini.

"Mereka tidak berguna sama sekali; mereka yang berada di (Mahkamah) Jenayah Antarabangsa. Mereka (pihak Rusia) telah menarik diri. Saya mungkin akan mengikuti jejak mereka. Kenapa? Kerana hanya negara kecil seperti kami sahaja yang didera," kata Duterte.

Pada Rabu lalu, Kementerian Luar Rusia berkata di dalam sebuah kenyataan bahawa Rusia akan menarik diri daripada ICC rentetan dekri yang dikeluarkan oleh Presiden persekutuan tersebut, Vladimir Putin.

Dua hari sebelum itu, ICC telah membangkitkan kemarahan Moscow apabila merujuk pengilhakan semenanjung Crimea oleh Rusia sebagai sebuah konflik bersenjata. Pada Mac 2014, bekas wilayah Ukraine tersebut memilih untuk bersama Rusia di dalam sebuah referendum.

Badan itu juga menuduh Rusia melakukan jenayah perang semasa konflik di antara negara itu dengan Georgia. Rusia mengingatkan tribunal tersebut akan pelanggaran hak asasi yang dilakukan oleh kerajaan Georgia ke atas rakyat awam pro-Rusia di wilayah South Ossetia di dalam konflik itu.