Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sekurang-kurangnya 91 orang dilaporkan terbunuh dan ramai lagi mengalami kecederaan apabila sebuah kereta api dilaporkan tergelincir dari landasannya di wilayah utara India, Uttar Pradesh (UP).
Tragedi itu berlaku pada awal hari Ahad semalam semasa kebanyakan penumpang dikatakan sedang nenyak tidur. Menurut pegawai yang terbabit, kereta api Ekspres Patna-Indore yang mempunyai 14 gerabak terkeluar daripada landasannya di kawasan berhampiran Pukhrayan yang terletak di daerah Kanpur Dehat.
Kereta api itu dikatakan bergerak dari Patna, ibu negeri Bihar yang terletak di timur India ke Indore yang merupakan sebuah bandar yang terletak di negeri Madhya Pradesh.
Angka kematian dijangka akan terus meningkat memandangkan para pegawai mengatakan bahawa masih ramai penumpang yang terperangkap di dalam gerabak-gerabak kereta api itu. Pihak polis dan kru kecemasan dilaporkan sedang bekerja keras untuk mengeluarkan mangsa daripada bangkai kereta api itu.
Para penumpang yang cedera telah dibawa ke hospital-hospital tempatan dan mereka yang terkandas dibawa ke sebuah stesen berdekatan di mana sebuah kereta api khas akan membawa mereka ke Patna.
Seramai 23 juta manusia menggunakan perkhidmatan kereta api di India setiap hari. Laluan kereta api di india adalah yang ke-4 terpanjang di dunia.
Kematian melibatkan kemalangan kereta api di India adalah sesuatu yang biasa di negara itu. Antara faktor yang menyebabkan kemalangan kereta api di India adalah landasan kereta api negara itu yang dilaporkan amat usang.
20 November 2016 - 06:46
News ID: 793045
Sekurang-kurangnya 91 orang dilaporkan terbunuh dan ramai lagi mengalami kecederaan apabila sebuah kereta api dilaporkan tergelincir dari landasannya di wilayah utara India, Uttar Pradesh (UP).