Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kerajaan Jepun telah mengumumkan langkah-langkah untuk mengelakkan para pekerja daripada bekerja secara berlebihan di dalam usaha mereka untuk memastikan golongan itu tidak 'bekerja sehingga mati'.
Menurut surat khabar Independent yang melaporkan pada hari Rabu, Perdana Menteri Shinzo Abe cuba untuk menetapkan had maksimum jam kerja lebih masa bagi seseorang pekerja di negara tersebut.
Yoshihide Suga yang merupakan jurucakap kerajaan berkata bahawa Jepun perlu menamatkan kebiasaan bekerja terlalu lama supaya golongan pekerja boleh menyeimbangkan kehidupan mereka untuk aktiviti lain seperti membesarkan anak-anak dan menjaga golongan tua.
Beberapa syarikat Jepun juga telah mula mematikan lampu di premis mereka dalam rangka menggalakkan para pekerja mereka untuk meninggalkan pejabat.
Persekutuan Perniagaan Jepun juga sedang berusaha untuk membolehkan para pekerja untuk meninggalkan pejabat lebih awal pada hari Jumaat minggu pertama setiap bulan.
Para pengkritik walau bagaimanapun mengatakan bahawa perkara yang dinyatakan tidak mencukupi untuk menggalakkan kehidupan yang seimbang di kalangan pekerja khususnya kerana Persekutuan Perniagaan Jepun sendiri hanya mewakili 1300 syarikat daripada 2.5 juta syarikat yang berdaftar di negara tersebut.
Sebelum ini, presiden syarikat Dentsu telah meletak jawatan selepas kerajaan memutuskan bahawa salah seorang pekerjanya telah mati akibat bekerja secara berlebihan.
Matsuri Takahashi, pekerja malang itu, menyertai syarikat Dentsu pada April 2015. Akan tetapi beban kerjanya meningkat secara mendadak pada bulan Oktober pada tahun yang sama sekaligus memaksanya untuk bekerja lebih masa. Dia dikatakan kerap sampai ke rumah pada jam 5.00 pagi setelah sehari penuh bekerja. Akhirnya, pada bulan Disember tahun 2015, pekerja itu mengambil keputusan untuh membunuh diri.
18 Januari 2017 - 19:51
News ID: 805797
Kerajaan Jepun telah mengumumkan langkah-langkah untuk mengelakkan para pekerja daripada bekerja secara berlebihan di dalam usaha mereka untuk memastikan golongan itu tidak 'bekerja sehingga mati'.