19 Januari 2017 - 17:38
Bangunan Pencakar Langit Tertua Di Iran Runtuh Selepas Dijilat Api

Bangunan pencakar langit tertua di Iran yang terletak di selatan Tehran runtuh selepas dijilat api pada hari Khamis sekaligus menyebabkan kemalangan jiwa yang besar.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bangunan pencakar langit tertua di Iran yang terletak di selatan Tehran runtuh selepas dijilat api pada hari Khamis sekaligus menyebabkan kemalangan jiwa yang besar.

Bangunan 17 tingkat itu runtuh selepas api membakar tingkat-tingkat atasnya ketika para anggota bomba sibuk cuba untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Agensi berita Fars dan laman sesawang IRIB mengatakan bahawa sekurang-kurangnya 30 anggota bomba telah kehilangan nyawa mereka. Akan tetapi, pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang angka rasmi buat masa ini.

Ketua perkhidmatan kecemasan Tehran memberitahu IRIB bahawa sekurang-kurangnya 70 orang dilaporkan mengalami kecederaan dan 23 daripada mereka terpaksa dimasukkan ke hospital.

Datuk Bandar Tehran pula berkata bahawa seramai 20 hingga 25 orang dipercayai tertimbus di dalam runtuhan tersebut.

Agensi berita Fars turut melaporkan bahawa seorang anggota bomba telah menghantar mesej kepada rakan sekerjanya yang mengatakan bahawa dia bersama rakan-rakannya kini terperangkap di dalam bilik enjin bangunan malang itu.

Setakat ini, para pegawai tidak mengeluarkan sebarang angka korban rasmi.

Anggota bomba dikatakan berusaha memadamkan kebakaran itu selama beberapa jam sebelum bangunan itu sendiri runtuh. Pihak polis pula dilaporkan berusaha untuk menghalang para peniaga dan mereka yang lain daripada memasuki bangunan itu untuk menyelamatkan barangan berharga mereka ketika kejadian.