1 Februari 2017 - 20:23
Putera Salman Puji Pengalaman Setiausaha Pertahanan A.S Berhubung Rantau Timur Tengah

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat dan Menteri Pertahanan Arab Saudi telah berbincang melalui telefon buat kali yang pertama semenjak Presiden Donald Trump memasuki Rumah Putih pada pertengahan bulan Januari lepas. Kedua-dua mereka saling bertukar pendapat berkaitan isu yang berbangkit di Timur Tengah di dalam perbualan tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat dan Menteri Pertahanan Arab Saudi telah berbincang melalui telefon buat kali yang pertama semenjak Presiden Donald Trump memasuki Rumah Putih pada pertengahan bulan Januari lepas. Kedua-dua mereka saling bertukar pendapat berkaitan isu yang berbangkit di Timur Tengah di dalam perbualan tersebut.

Setiausaha Pertahanan, James Mattis dan Timbalan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad Bin Salman Al-Saud, yang turut berkhidmat sebagai menteri pertahanan negara Arab tersebut, berbual melalui telefon pada hari Selasa.

Mattis di dalam perbualan itu menegaskan tentang kepentingan hubungan strategik di antara Washington dan Riyadh, khususnya dalam menangani cabaran yang wujud di rantau Timur Tengah. Perkara itu dilaporkan oleh jurucakap Pentagon, Kapten Jeff Davis.

Sementara itu, media kerajaan Arab Saudi, SPA mengeluarkan sebuah laporan yang mengatakan Putera Salman memuji pengalaman luas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat berhubung rantau itu.

Mattis yang juga dikenali sebagai "Anjing Gila" dan "Pahlawan Sami," berkhidmat selama puluhan tahun di dalam Kor Marin negara A.S dan pernah terlibat di dalam beberapa operasi penting di Afghanistan dan Iraq.

Selain daripada itu, Putera Salman turut menekankan bahawa kerjasama di antara A.S dan negaranya adalah amat penting untuk mengembalikan kestabilan ke rantau tersebut.