16 Februari 2017 - 20:02
Washington Belum Bersedia Jalin Kerjasama Ketenteraan Dengan Rusia

Amerika Syarikat (AS) belum bersedia bekerjasama dari segi ketenteraan dengan Russia, kata ketua Pentagon James Mattis hari ini, selepas Menteri Pertahanan negara itu menggesa hubungan lebih baik.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Amerika Syarikat (AS) belum bersedia bekerjasama dari segi ketenteraan dengan Russia, kata ketua Pentagon James Mattis hari ini, selepas Menteri Pertahanan negara itu menggesa hubungan lebih baik.

"Kami belum berada pada kedudukan untuk menjalin kerjasama di peringkat ketenteraan ketika ini, namun pemimpin politik akan cuba mencari persetujuan atau cara seterusnya," kata Mattis kepada media dalam sidang kemuncak NATO di sini.

Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu sebelum itu berkata di Moscow, beliau 'bersedia memulihkan kerjasama dengan Pentagon,' dan Presiden Vladimir Putin menggesa agensi perisikan negara itu meningkatkan hubungan dengan rakan sejawatannya di AS dalam peperangan menentang keganasan. Kenyataan balas itu berlaku ketika Presiden Donald Trump berdepan krisis meningkat terhadap isu hubungan antara Russia dan anggota kempennya.

Presiden AS itu berulang kali memuji Putin, menggesa kerjasama lebih baik dengan Russia termasuk perjuangan menentang militan Daesh di Syria. Mattis, seorang bekas jeneral Marin berkata, Russia terdahulu perlu 'membuktikan dirinya' serta mematuhi undang-undang antarabangsa sebelum AS dan NATO mempertimbangkan hubungan tentera lebih rapat. -AFP