Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Angkatan Pertahanan Udara Yaman dilaporkan telah berjaya mengesan dan menembak jatuh sebuah pesawat tempur F-16 milik Tentera Udara Di-raja Jordan di wilayah selatan negara Arab Saudi.
Seorang sumber daripada pihak tentera Yaman memberitahu rangkaian televisyen berbahasa Arab, al-Masirah pada hari Jumaat bahawa pesawat tempur itu disasarkan ketika melakukan penerbangan di Najran pada hari yang sama.
Menurut sumber, pesawat itu didakwa telah megambil bahagian di dalam operasi mengebom sasaran di Yaman.
Sementara itu, pihak ketenteraan Jordan telah mengesahkan berita bahawa pesawatnya telah terhempas di dalam wilayah Arab Saudi itu tanpa memberitahu perincian yang lebih lanjut berhubung sebab kemalangan tersebut.
Menurut kenyataan yang sama, juruterbang pesawat tersebut, Adnan Naeem Abdulaziz Nabas berjaya melepaskan dirinya daripada kokpit pesawat sebelum ia terhempas. Juruterbang itu dijangkakan akan tiba ke Jordan pada hari yang sama dengan kerjasama tentera Arab Saudi.
Di dalam perkembangan yang lain, rangkaian berita rasmi UAE, WAM melaporkan bahawa seorang anggota tentera negara itu telah terbunuh di dalam pertempuran di Yaman.
Arab Saudi mula melancarkan operasi mereka di negara jirannya itu sejak Mac 2015 di dalam rangka mengembalikan kekuasaan kepada bekas Presiden Rabbuh Mansur Hadi yang merupakan sekutu kuat Riyadh.
Operasi pakatan tajaan Arab Saudi di Yaman setakat ini telah mengorbankan 10,000 warga Yaman dan mencederakan 40,000 yang lain. Perangkaan itu diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sendiri.
/315