27 Februari 2017 - 17:17
Militan Abu Sayyaf Penggal Tebusan Bangsa Jerman

Kumpulan militan Abu Sayyaf dilaporkan mengeluarkan video menunjukkan anggotanya memenggal seorang tebusan lelaki warga Jerman selepas permintaan pengganas itu untuk mendapatkan wang te­busan tidak dipenuhi.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kumpulan militan Abu Sayyaf dilaporkan mengeluarkan video menunjukkan anggotanya memenggal seorang tebusan lelaki warga Jerman selepas permintaan pengganas itu untuk mendapatkan wang te­busan tidak dipenuhi.

Portal Al-Jazeera melaporkan, video yang dimuat naik semula oleh laman kumpulan pemantauan, SITE menunjukkan lelaki berusia 70 tahun, Jurgen Kartner duduk di atas kawasan berumput dengan seorang lelaki mengacukan pisau di lehernya.

“Sekarang mereka akan bunuh saya,” katanya sebelum dilaporkan dipenggal semalam selepas tarikh akhir permintaan wang tebusan.

Tentera Filipina berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai pembunuhan Kartner dan siasatan kini giat dijalankan untuk mengesahkan maklumat tersebut.

“Kami telah meminta bantuan kerajaan tempatan dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) untuk mendapatkan pengesahan lanjut.

“Kecuali mayat mangsa berjaya ditemukan, kami masih berpegang kepada pendapat bahawa dia masih hidup,” kata jurucakap tentera Filipina, Kolonel Edgard Arevalo.

Kartner diculik ketika Abu Sayyaf menyerbu kapal peribadi miliknya dan membunuh iste­rinya, Sabine Merz di Pulau Tawi-Tawi pada 5 November tahun lalu.

Pada 14 Februari lepas, kumpulan militan itu menyiarkan rakaman video Kartner me­rayu supaya wang tebusan dibayar agar dia dibebaskan dan memberi tempoh sehingga pukul 3 petang semalam untuk menuntut pen­yerahan wang bernilai 30 juta peso (RM 2.6 juta) daripada kerajaan Jerman dan Filipina.