6 April 2017 - 18:23
Eropah, Israel Bina Salur Gas Terpanjang Di Dunia

Eropah dan Israel bakal menjayakan projek pembinaan saluran paip terpanjang di dunia untuk memindahkan gas asli dari Israel ke benua Eropah yang dijangka siap pada tahun 2025.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Eropah dan Israel bakal menjayakan projek pembinaan saluran paip terpanjang di dunia untuk memindahkan gas asli dari Israel ke benua Eropah yang dijangka siap pada tahun 2025.

Menurut portal berita Arab News, saluran paip sepanjang 2,000 kilometer itu bertujuan untuk menghubungkan penyaluran bahan api di luar pantai Israel dan Cyprus dengan Greece serta Itali, melibatkan kos sehingga AS$6.4 bilion (RM28.35 bilion).

“Projek ini akan membina saluran paip gas bawah laut yang terpanjang dan paling dalam di dunia,” kata Menteri Tenaga Israel Yuval Steinitz.

Pada sidang akhbar bersama di Tel Aviv semalam, Israel bersama-sama menteri tenaga daripada empat buah negara termasuk Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) untuk tindakan iklim dan tenaga, Miguel Arias Canete menyatakan komitmen mereka dalam projek berkenaan.

“Kajian telah selesai dan usaha untuk beberapa tahun akan datang bakal memberi tumpuan kepada aktiviti pembangunan dengan keputusan pelaburan muktamad dijangka menjelang tahun 2020, kata Ketua Eksekutif IGI Poseidon, Elio Ruggeri.

Pakar Geopolitik Asia Barat Universiti Rice, Jim Krane berkata, EU kini berusaha mengurangkan pergantungan gas di Rusia serta mempelbagaikan sumber bahan berkenaan manakala Israel pula sedang mencari pasaran gas yang baru ditemuinya.

“Israel tidak dapat memanfaatkan gas yang ditemuinya untuk mewujudkan hubungan rapat dengan negara Arab kerana pelbagai sebab. Mesir pula baru-baru ini menemui sumber gasnya sendiri dan tidak lagi memerlukan bekalan gas dari Israel manakala negara-negara lain seperti Jordan pula menginginkannya tetapi bimbang terhadap kesan pergantungannya kepada Israel.

“Pilihan akhir Israel adalah untuk mencari jalan menghantar sumber bahan api tersebut ke Eropah. Bagi Eropah, gas Israel dan Cyprus akan menyediakan kepelbagaian untuk bekalan dari Rusia serta Afrika Utara,” jelasnya.

Bagaimanapun, Krane berkata, usaha itu bakal berdepan halangan besar kerana lebihan bekalan gas asli cecair yang berlaku di seluruh dunia menyebabkan harga bahan berkenaan menjunam.