3 Mei 2017 - 18:40
Warga Turki Yang 'Hilang' Ditangkap Polis, Kata Khalid

Kedua-dua warga Turki yang sebelum ini dilaporkan hilang di Malaysia telah ditahan oleh pihak polis yang menyifatkan mereka sebagai ancaman keselamatan. Perkara itu diumumkan oleh Ketua Polis Malaysia pada hari Rabu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kedua-dua warga Turki yang sebelum ini dilaporkan hilang di Malaysia telah ditahan oleh pihak polis yang menyifatkan mereka sebagai ancaman keselamatan. Perkara itu diumumkan oleh Ketua Polis Malaysia pada hari Rabu.

Tindakan itu walau bagaimanapun telah menimbulkan kebimbangan kumpulan hak asasi manusia berhubung kemungkinan campur tangan Ankara di dalam penahanan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menulis di dalam akaun Twitter bahawa Turgay Karaman dan Ihsan Aslan telah ditangkap kerana mereka mengancam keselamatan Malaysia.

Sebelum ini, FMT melaporkan 2 warga Turki itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Gulen, kumpulan yang dituduh dalang rampasan kuasa yang gagal tahun lalu.

Sahabat dan ahli keluarga mendakwa mereka dicekup semalam oleh lelaki tidak dikenali.

Karaman merupakan pengetua Time International School di Ipoh, manakala Aslan anggota Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Turki.

Rakaman CCTV di tempat letak kereta menunjukkan Karaman dibawa beberapa lelaki.

Menurut salinan laporan polis oleh kenalan Karaman, Suheyl Ozcelik, yang dibaca FMT, 2 buah kereta yang digunakan oleh penculik itu ialah sebuah Nissan Almera dan Proton Gen-2.

Laporan-laporan media mengatakan bahawa seorang lagi warga Turki yang ditahan adalah Ihsan Aslan yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Timbalan pengarah Human Rights Watch Asia berkata bahawa pihak polis tempatan perlu membenarkan kedua-dua lelaki tersebut untuk berjumpa dengan para peguam, keluarga dan dalam masa yang sama menyatakan sebab kenapa mereka mendatangkan ancaman ke atas Malaysia.

Beliau turut berkata bahawa Malaysia tidak sepatutnya membantu Turki di dalam apa yang disifatkan sebagai "penindasan Ankara."

"Mereka tidak sepatutnya menerima apa sahaja yang dikatakan oleh kerajaan Turki sebagai satu-satunya sumber informasi berhubung warga negara Turki yang menetap di luar," kata Robertson kepada AFP.

"Kerajaan Turki sedang memburu mereka yang dianggap sebagai musuh Erdogan," tambahnya lagi.

Kerajaan Erdogan setakat ini telah menahan ataupun memecat puluhan ribu warganya di bawah akta darurat yang diperkenalkan di negara itu setelah percubaan rampasan kuasa Julai lepas. - FMT/ Press TV