Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sebuah perjanjian untuk mencipta empat zon selamat du Syria yang bertujuan untuk menamatkan krisis berdarah di negara itu telahpun dikuatkuasakan di negara Arab itu, kata Kementerian Pertahanan Rusia.
Perjanjian yang merangkumi empat zon selamat itu melibatkan empat buah kawasan yang terletak di utara, tengah dan selatan Syria. Kawasan-kawasan itu dilaporkan sebagai lokasi di mana pertempuran-pertempuran sengit berlaku di antara Damsyik dan juga kumpulan militan. Menurut laporan, perjanjian itu mula dikuatkuasakan pada tengah malam hari Sabtu mengikut waktu tempatan.
Penguatkuasaan itu berlaku sehari selepas Rusia, Iran dan Turki menandatangani perjanjian itu di dalam rundingan damai Astana pusingan ke-4 di ibu kota Kazahkstan. Rusia merupakan kuasa yang bertanggungjawab mengusulkan perkara itu kepada pihak yang terlibat di dalam rundingan tersebut.
Keempat-empat zon itu hanya tertakluk ke atas kumpulan pembangkang bersenjata Syria tanpa merangkumi kumpulan pengganas Takfiri seperti Daesh dan Jabhat Fateh al-Sham. Kedua-dua kumpulan itu juga tidak dimasukkan sebagai entiti di dalam perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada Disember lalu.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Rusia, Leftenan Jeneral Alexander Fomin meluahkan keyakinan mereka berhubung kesan penciptaan zon itu dalam membawa keamanan ke negara Arab tersebut.
"Penguatkuasaan perjanjian itu akan membolehkan aktiviti tempur dihentikan oleh pihak yang bersengketa dan secara praktiknya menamatkan perang saudara di Syria. Inilah yang menyebabkan dokumen (perjanjian) ini penting untuk mencari penyelesaian diplomatik kepada krisis du Syria," kata Fomin pada hari Jumaat.
Rusia sebelum ini turut memaklumkan bahawa operasi pesawat tempur Amerika Syarikat dan juga negara-negara pakatan yang diketuai Washington tidak lagi dibenarkan memasuki zon selamat itu. Menurut mereka keempat-empat zon itu akan ditutup buat pesawat-pesawat tempur Amerika Syarikat dan sekutunya yang beroperasi di negara Arab tersebut.
"Berhubung dengan operasi mereka (A.S dan sekutunya) di zon keselamatan, mulai saat ini, kesemua zon itu ditutup buat penerbangan mereka," kata wakil Kremlin di perundingan damai Astana, Alexander Lavrentyev.
Diplomat Rusia itu menambah dengan berkata bahawa "Operasi penerbangan, khususnya yang dilancarkan oleh pakatan antarabangsa, sememangnya tidak diambil kira (di dalam pelaksanaan pelan itu)." -ABNA24
/315
6 Mei 2017 - 15:52
News ID: 828189
Sebuah perjanjian untuk mencipta empat zon selamat du Syria yang bertujuan untuk menamatkan krisis berdarah di negara itu telahpun dikuatkuasakan di negara Arab itu, kata Kementerian Pertahanan Rusia.