Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Turki sedang bersiap-sedia untuk menghantar anggotanya ke wilayah Idlib, Syria yang dikuasai oleh kumpulan militan sebelum membina kem tentera di sana, baca sebuah laporan.
Saluran Televisyen Lubnan, al-Mayadeen menukilkan sebuah sumber yang berkata bahawa tentera Turki telah menghantar sebuah telegram kepada kumpulan militan yang aktif di Idlib untuk memaklumkan mereka tentang operasi itu.
Menurut sumber, tentera Turki tidak akan menyerang Jabhat Fateh al-Sham (kumpulan pengganas yang merupakan sekutu al-Qaeda di Syria). Mereka sebaliknya akan menggunakan pendekatan "diplomatik" dalam rangka 'memaksa' mereka untuk meninggalkan Idlib dan menyerahkan Idlib kepada tentera Ankara.
Laporan itu turut menyebut bahawa wakil Turki secara peribadi telah menyampaikan mesej itu di dalam sebuah pertemuan dengan para pemimpin kumpulan militan di Idlib.
Mereka turut menggesa para militan untuk tidak menganggap tentera Ankara sebagai tentera penjajah. Selain daripada itu, Tentera Turki turut memberikan amaran kepada mereka yang menunjukkan penentangan ke atas rancangan tersebut.
Sementara itu, pejabat gabenor wilayah Hatay di Turki menafikan laporan itu.
"Kenyataan yang dibuat oleh sebahagian laman sesawang berbahasa Arab dan juga sesetengah laman sosial yang mengatakan tentera Turki akan memasuki Idlib tidak mencerminkan kebenaran," baca kenyataan itu.
Laporan berhubung rancangan itu muncul selepas Iran, Rusia dan Turki mencapai kesepakatan di Astana untuk mewujudkan empat zon selamat di Syria. Sebuah langkah yang dilihat oleh ramai pemerhati sebagai batu loncatan dalam rangka mengembalikan keamanan di negara Arab itu.
Rusia dan Iran adalah sekutu kuat Damsyik di dalam perundingan itu manakala Turki pula dilihat sebagai pihak yang mempertahankan kepentingan kumpulan militan yang aktif di Syria.
Turki sebelum ini telah menamatkan pencabulan mereka ke atas wilayah Syria pada Mac 2017. Akan tetapi, mereka tidak menolak sebarang kemungkinan untuk melakukan sebuah lagi campur tangan ketenteraan di Syria di sebalik kecaman Syria. -ABNA24
/315
7 Mei 2017 - 15:14
News ID: 828373
Tentera Turki sedang bersiap-sedia untuk menghantar anggotanya ke wilayah Idlib, Syria yang dikuasai oleh kumpulan militan sebelum membina kem tentera di sana, baca sebuah laporan.