8 Julai 2017 - 06:44
EU Kecam Pelan Pembinaan Penempatan Baharu Israel Di Wilayah Yang Diduduki Rejim

Kesatuan Eropah mengecam pelan rejim Israel untuk meneruskan pembinaan sekitar 1,500 unit rumah baharu di Timur al-Quds yang diduduki oleh mereka sambil mengatakan bahawa tindakan itu akan membahayakan prospek penyelesaian dua negara yang dicanangkan Barat sebelum ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kesatuan Eropah mengecam pelan rejim Israel untuk meneruskan pembinaan sekitar 1,500 unit rumah baharu di Timur al-Quds yang diduduki oleh mereka sambil mengatakan bahawa tindakan itu akan membahayakan prospek penyelesaian dua negara yang dicanangkan Barat sebelum ini.

Di dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada hari Jumaat, EU turut mengatakan bahawa mereka "menjangkakan" Tel Aviv untuk mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

Kenyataan itu turut menunjukkan bahawa EU berharap bahawa kedua-dua pihak akan berbincang bersama-sama untuk menjayakan proses damai berasaskan format penyelesaian dua buah negara. Menurut kenyataan itu, perbincangan berasaskan konsep penyelesaian dua buah negara adalah satu-satunya cara untuk memastikan kedua-dua pihak mampu mencapai aspirasi mereka secara sah.

Kenyataan EU itu dikeluarkan sehari selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengecam keras tindakan Israel tersebut. Menurut beliau, tindakan rejim itu akan "mengancam" prospek penyelesaian dua buah negara.

"Perancis sentiasa mengecam dan akan terus berbuat demikian ke atas proses kolonialisasi berterusan yang tidak sah menurut undang-undang antarabangsa," kata beliau di dalam sebuah sidang akhbar yang turut disertai oleh Mahmoud Abbas.

Sebuah pertubuhan NGO Israel, Peace Now pada hari Isnin berkata bahawa rejim Tel Aviv sedang merancang untuk meneruskan pembinaan 1,800 buah unit rumah di kawasan tersebut.

Selepas mendapat kelulusan, unit baharu itu akan menjadi projek pertama yang akan dibina selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menelefon Perdana Menteri rejim, Benjamin Netanyahu supaya Tel Aviv mengekang aktiviti penempatan. -ABNA24

/315