Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Penasihat politik dan media kepada Presiden Bashar Assad berkata bahawa konflik berusia enam tahun yang melanda negara Syria kini sudah hampir selesai memandangkan negara-negara asing sudah mula menghentikan sokongan mereka ke atas kumpulan-kumpulan pengganas Takfiri yang beroperasi di negara Arab itu. Dia turut berikrar bahawa kerajaan Damsyik akan meneruskan penentangan mereka ke atas setiap pasukan tentera atau militan yang berada di Syria secara tidak sah tidak kira sama ada mereka berasal dari Turki ataupun Amerika Syarikat.
Bouthaina Shaaban yang bercakap kepada rangkaian berita al-Mayadeen pada hari Jumaat berkata bahawa perasmian Pameran Antarabangsa Damsyik serta penyertaan dari negara-negara serantau membuktikan perubahan besar sedang berlaku di dalam krisis yang ditaja kerajaan asing itu.
Beliau menambah dengan mengatakan bahawa perang Syria kini mula memasuki fasa baharu setelah negara-negara asing yang menyokong kumpulan militan yang beroperasi di negara Arab tersebut mula mengubah polisi mereka ke atas konflik berdarah tersebut.
"Pameran itu adalah (simbol) kegagalan projek mereka (di Syria). Akan tetapi, itu tidak bermakna bahawa kami sudah memenangi peperangan tersebut secara keseluruhan. Kita sebenarnya sedang berada di titik mula sebuah jalan yang menuju ke arah pembangunan dan pembinaan semula Syria," komen Shaaban.
Pegawai kanan Syria itu turut mengkritik Turki yang menurutnya menyokong para pengganas sambil berkata bahawa Ankara tidak jujur dalam melaksanakan apa yang mereka perkatakan.
Shaaban menuduh Ankara sedang 'bermain' dengan kesemua pihak yang terlibat di dalam konflik itu dalam rangka memenangi peranan yang lebih besar di rantau itu. Menurutnya, Turki ingin mencapai objektif mereka itu sekalipun harganya adalah kemusnahan Syria.
"Kehadiran tentera Turki (di wilayah Syria) adalah sebuah serangan (ke atas negara kami) yang mana akan kami tangani pada masa yang sesuai," kata beliau. Shaaban turut berkata bahawa Damsyik menolak peranan Turki di dalam zon nyah-ketegangan memandangkan negara itu cuba mengesahkan keberadaan mereka di Syria melalui peranan itu.
"Setelah kami mengalahkan pengganas, kami akan menentang 'kehadiran yang tidak sah' di tanah air kami. Tidak kira sama ada mereka adalah A.S ataupun Turki," kata Shaaban.
Shaaban turut menegaskan bahawa A.S tidak akan pernah mampu mengimplementasikan sebarang rancangan untuk memecah-belahkan wilayah-wilayah Syria. -ABNA24
/315
19 Ogos 2017 - 03:10
News ID: 849151
Penasihat politik dan media kepada Presiden Bashar Assad berkata bahawa konflik berusia enam tahun yang melanda negara Syria kini sudah hampir selesai memandangkan negara-negara asing sudah mula menghentikan sokongan mereka ke atas kumpulan-kumpulan pengganas Takfiri yang beroperasi di negara Arab itu. Dia turut berikrar bahawa kerajaan Damsyik akan meneruskan penentangan mereka ke atas setiap pasukan tentera atau militan yang berada di Syria secara tidak sah tidak kira sama ada mereka berasal dari Turki ataupun Amerika Syarikat.