25 Ogos 2017 - 14:45
Serangan Di Myanmar: 32 Maut, Pemberontak Rohingya Mengaku Bertanggungjawab

Sekurang-kurangnya 21 pemberontak dan 11 anggota keselamatan terbunuh di Rakhine hari ini apabila militan melancarkan serangan terancang besar-besaran ke atas 24 pos polis dan pangkalan tentera.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sekurang-kurangnya 21 pemberontak dan 11 anggota keselamatan terbunuh di Rakhine hari ini apabila militan melancarkan serangan terancang besar-besaran ke atas 24 pos polis dan pangkalan tentera.

Pertempuran yang masih berlaku di sesetengah kawasan, menandakan peningkatan besar-besaran dalam konflik yang semakin meruncing di negeri barat laut sejak Oktober lalu.

Serangan sama mencetuskan tindakan keras tentera dilingkari dakwaan penderaan hak asasi manusia yang serius.

Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA), kumpulan dikenali sebagai Harakah al-Yaqin sebelum ini yang memulakan serangan Oktober lalu, mendakwa bertanggungjawab dan memberi amaran akan ada lebih banyak serangan.

Layanan ke atas kira-kira 1.1 juta penduduk Muslim Rohingya, muncul sebagai isu utama hak asasi di Myanmar yang majoriti rakyatnya beragama Buddha ketika ia sedang mengalami peralihan daripada pemerintahan kejam tentera.

Pemantau berkata, ia kini beralih kepada pemberontakan yang semakin berkembang dan mirip kepada pergerakan lebih meluas.

Situasi di Rakhine semakin buruk awal bulan ini apabila pasukan keselamatan memulakan satu 'operasi pembersihan' baharu di kawasan pergunungan terpencil itu.

Tentera berkata, seorang askar, 10 polis dan 21 pemberontak terbunuh dalam serangan itu, manakala dua sumber tentera dihubungi Reuters berkata, angka kematian mungkin bertambah.

Pada masa sama, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan ke atas pasukan keselamatan Myanmar di Rakhine.-AFP