Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pengebom nekad menyerang stesen elektrik di utara Baghdad awal hari ini, menyebabkan tujuh maut dan memaksa kemudahan itu ditutup, kata sumber polis dan tentera.
Sekurang-kurangnya tiga penyerang memakai anak baju dilengkapi peranti letupan menyerang stesen itu jam 3.00 pagi waktu tempatan, berhampiran bandar raya Sammara, kira-kira 100 kilometer ke utara Baghdad.
Mereka menggunakan bom tangan untuk memasuki kemudahan itu.
"Saya bertugas syif malam dan tiba-tiba mendengar tembakan dan letupan.
"Beberapa minit kemudian saya melihat seorang penyerang memakai seragam tentera dan membaling bom tangan menerusi tingkap," kata seorang pekerja, Raied Khalid, yang cedera terkena serpihan letupan.
Sumber keselamatan berkata, tiga penyerang mengambil alih sementara kawasan di stesen itu, tetapi polis berjaya merampasnya semula selepas tiga jam.
Empat anggota polis dan tiga pekerja terbunuh dalam serangan, manakala 13 lagi cedera.
Seorang daripada penyerang, yang dikepung pasukan keselamatan, meletupkan ves dipakainya berhampiran salah satu jana kuasa, menyebabkan kebakaran berlaku.
Dua lagi maut, kata sumber keselamatan, sama ada dengan meletupkan diri atau dalam pertempuran dengan pihak keselamatan. - Reuters
2 September 2017 - 14:54
News ID: 851972
Pengebom nekad menyerang stesen elektrik di utara Baghdad awal hari ini, menyebabkan tujuh maut dan memaksa kemudahan itu ditutup, kata sumber polis dan tentera.