Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk membantu proses mengembalikan 500,000 orang daripada etnik Rohingya ke tanah asal mereka di Myanmar. Etnik tersebut meninggalkan tanah air mereka setelah ditekan oleh pihak tentera Myanmar dan puak pelampau Buddha.
Annan yang mengetuai jawatankuasa pengumpul bukti di Myanmar berkata bahawa kerajaan negara Asia Tenggara itu perlu "mewujudkan suasana yang sesuai dalam rangka membenarkan kesemua pelarian pulang ke tanah air mereka dengan penuh terhormat." Annan berkata sedemikian di dalam satu pertemuan tertutup dengan UNSC di New York, Amerika Syarikat.
Pada penghujung bulan Ogos lalu, jawatankuasa yang dipimpin oleh beliau telah melaporkan situasi di negeri Rakhine yang secara majoritinya didiami oleh etnik Rohingya. Laporan itu menggesa pihak terbabit untuk memberikan status kewarganegaraan kepada kaum Rohingya yang telah lama menghadapi diskriminasi di negara bermajoriti penduduk beragama Buddha itu.
Annan turut berkata bahawa para pelarian yang berlindung di kem-kem yang terletak di sempadan Bangladesh juga memerlukan bantuan untuk memperolehi rumah mereka semula.
Beliau turut menggesa Majlis Keselamatan untuk mencapai kesepakatan dengan kerajaan Myanmar berhubung pelan untuk membenarkan kepulangan etnik Rohingya ke tanah air mereka. Annan berkata bahawa kegagalan untuk bertindak seperti itu akan mendatangkan masalah jangka panjang.
Etnik Rohingya melarikan diri daripada operasi ketenteraan di Myanmar, yang dipanggil PBB sebagai tindakan pembersihan etnik. Mereka dinafikan hak kewarganegaraan dan turut dilabel sebagai pendatang haram dari Bangladesh. -ABNA24
/315
14 Oktober 2017 - 13:21
News ID: 860287
Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk membantu proses mengembalikan 500,000 orang daripada etnik Rohingya ke tanah asal mereka di Myanmar.