Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Myanmar dan Bangladesh bersetuju bekerjasama menguruskan penghantaran pulang pelarian Rohingya dan meningkatkan keselamatan di sempadan.
Persetujuan dicapai ketika hubungan kedua-dua negara jiran itu tegang, susulan kebanjiran berterusan pelarian memasuki Bangladesh.
Lebih 600,000 etnik Islam Rohingya meninggalkan Myanmar sejak 25 Ogos lalu, apabila serangan militan mencetuskan tindak balas keras oleh tentera Myanmar yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pembersihan etnik.
Pada pertemuan di Naypyitaw, yang dihadiri Menteri Dalam Negeri Myanmar, Leftenan Jeneral Kyaw Swe dan rakan sejawatannya dari Bangladesh, Asaduzzaman Khan, kedua-dua negara menandatangani dua perjanjian meliputi kerjasama keselamatan dan sempadan.
Kedua-dua pihak juga bersetuju 'menghentikan kebanjiran penduduk Myanmar ke Bangladesh' dan 'membentuk kumpulan bekerja bersama', kata Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Myanmar, Tin Myint, kepada wartawan selepas mesyuarat itu.
"Selepas kumpulan bekerja bersama, pengesahan, kedua-dua negara bersetuju mengatur langkah berbeza supaya mereka dapat pulang ke negara mereka dengan selamat dan terhormat dan dalam keadaan selamat," kata Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Bangladesh, Mostafa Kamal Uddin.
Pegawai tidak memperincikan langkah tertentu yang akan diambil pihak berkuasa untuk proses penghantaran semula, menambah perbincangan bertumpu kepada perjanjian kerjasama keselamatan dan sempadan. - Reuters
24 Oktober 2017 - 20:25
News ID: 862412
Myanmar dan Bangladesh bersetuju bekerjasama menguruskan penghantaran pulang pelarian Rohingya dan meningkatkan keselamatan di sempadan.