27 November 2017 - 05:07
Pihak Keselamatan Kepung Rumah Syeikh Isa Qassim

Pasukan keselamatan Bahrain telah meningkatkan kawalan ke atas rumah milik ulama terkemuka negara itu, Syeikh Isa Qassim di sebalik situasi kesihatan beliau yang semakin merosot.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pasukan keselamatan Bahrain telah meningkatkan kawalan ke atas rumah milik ulama terkemuka negara itu, Syeikh Isa Qassim di sebalik situasi kesihatan beliau yang semakin merosot.

Menurut sumber rasmi daripada parti pembangkang al-Wefaq (yang sebelum ini telah dibubarkan oleh pihak kerajaan), Syeikh Isa Qassim kini memerlukan rawatan segera memandangkan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Kerajaan Bahrain pada tahun lepas telahpun membubarkan parti pembangkang utama negara itu, Persatuan Islam Kebangsaan al-Wefaq. Selain daripada parti itu, parti Tawiya dan Persatuan al-Risala juga telah dibubarkan oleh pemerintah monarki negara teluk yang kecil itu.

Syeikh Isa Qassim yang merupakan ketua spiritual parti al-Wefaq juga telah dilucutkan kewarganegaraan beliau pada Jun tahun lepas berikutan pertuduhan bahawa beliau telah menggunakan kedudukannya untuk membantu kuasa asing serta mempromosikan keganasan dan sektarianisme di negara monarki itu. Ulama itu turut dijatuhkan hukuman penjara tergantung selama setahun dan juga diarahkan untuk membayar denda.

Keputusan mahkamah ke atas ulama terkemuka Bahrain itu telah mencetuskan kecaman dan protes yang meluas.

Negara Bahrain telah menyaksikan protes anti-rejim hampir setiap hari semenjak kebangkitan warga negara itu yang bermula pada Februari tahun 2011.

Warga Bahrain menuntut supaya keluarga al-Khalifah untuk melepaskan kuasa mereka dan pemerintahan mereka digantikan dengan sebuah sistem yang lebih adil untuk mewakili setiap warga negara itu.

Ramai yang telah terbunuh dan ratusan lagi mengalami kecederaan berikutan tindakan keras Manama ke atas suara pengkritik dan peserta tunjuk perasaan aman.

Bahrain juga telah menyaksikan diskriminasi meluas ke atas warga Syiah yang merupakan majoriti penduduk negara Arab tersebut selain daripada tekanan pihak berkuasa atas tuntutan demokratik  daripada orang awam. -ABNA24

/315