19 Januari 2018 - 14:19
Isu Penghantaran Balik Rohingya: Beri Tekanan Kepada Myanmar

Bangladesh menggesa masyarakat antarabangsa mengenakan tekanan ke atas Myanmar bagi memaksa negara itu menerima kembali dan menempatkan semula hampir sejuta pelarian Rohingya yang melarikan diri susulan keganasan di negeri Rakhine.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bangladesh menggesa masyarakat antarabangsa mengenakan tekanan ke atas Myanmar bagi memaksa negara itu menerima kembali dan menempatkan semula hampir sejuta pelarian Rohingya yang melarikan diri susulan keganasan di negeri Rakhine.

Bercakap di New Delhi pada Khamis, Menteri Luar Bangladesh, Abul Hassan Mahmood Ali berkata, krisis pelarian Rohingya "telah menjejaskan hubungan kami" namun Dhaka terus mengekalkan "penglibatan dua hala dengan Myanmar."

Kedua-dua negara bersetuju dengan satu perjanjian minggu ini untuk menghantar balik pelarian terbabit dalam tempoh dua tahun.

Menteri Bangladesh itu berharap isu tersebut boleh diselesaikan secara muktamad dengan penghantaran balik pelarian Rohingya ke Myanmar secara mampan.

"Kerajaan Bangladesh ingin menggesa komuniti antarabangsa untuk menyokong usaha rehabilitasi di utara negeri Rakhine di Myanmar, yang merupakan tempat asal pelarian Rohingya," kata Ali ketika berucap di persidangan "Dialog Raisina.”

"Kami juga ingin meminta India dan komuniti antarabangsa untuk terus memberi tekanan kepada pihak berkuasa Myanmar bagi memastikan proses penghantaran balik pelarian Rohingya lengkap dan mampan," kata menteri itu.

Bangladesh menjadi tuan rumah kepada hampir sejuta pelarian Islam Rohingya, dengan kebanyakan mereka tiba dalam tempoh enam bulan lalu, selepas berdepan dengan apa yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai satu "contoh buku teks" bagi pembersihan etnik.

"Myanmar telah merancang secara terperinci pengusiran masyarakat Rohingya dari negeri Rakhine secara besar-besaran yang sebelum ini tidak pernah berlaku.

"Hampir 700,000 pelarian Rohingya yang terdesak masuk ke Bangladesh sejak 25 Ogos 2017," kata Ali.

Menteri Luar Bangladesh itu berkata kebanjiran pelarian terbabit telah menimbulkan ketegangan di negara tersebut selain menguji dasar "hubungan jiran yang mesra dan baik" dengan Myanmar. - Bernama