Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : https://www.bharian.com.my/
Ahad

13 Ogos 2023

7:22:24 PTG
1386840

Konvoi jurutera China diserang di Gwadar, Pakistan

QUETTA: Pemisah Tentera Pembebasan Balochistan (BLA) didakwa menyerang konvoi yang membawa jurutera China ke Pelabuhan Gwadar yang dibiayai Beijing di barat daya Pakistan, semalam, kata kumpulan itu.

Sebelum ini, pelbagai kumpulan militan Baloch mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan ke atas projek yang dikaitkan dengan projek Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC), dengan beribu-ribu anggota keselamatan dikerahkan untuk menentang ancaman terhadap kepentingan Beijing.

"Briged BLA Majeed hari ini (semalam) menyasarkan konvoi jurutera China di Gwadar. Serangan masih berterusan," kata kumpulan pemisah itu dalam satu kenyataan.

Sumber keselamatan mengesahkan serangan, tetapi tiada maklum balas rasmi setakat ini.

Bagaimanapun, seorang senator dan bekas Menteri Dalam Negeri, Sarfaraz Ahmed Bugti, berkata di Twitter atau yang kini dijenamakan semula sebagai X, berkata tiada warga China terbunuh dalam serangan itu.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan keganasan ke atas konvoi pekerja China di Gwadar.

"Syukur tiada kehilangan nyawa berlaku, tetapi terdapat laporan serangan hendap berjaya dipatahkan dan penyerang terbunuh," tulisnya dalam ciapan X.

Sementara itu, Radio Negara Pakistan, memetik sayap perhubungan awam tentera, berkata keadaan terkawal.

"Seorang pengganas terbunuh dan tiga lagi cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan pengganas di Gwadar," katanya.

Pemisah Baloch sering membesar-besarkan kejayaan medan perang mereka, manakala jabatan perhubungan awam tentera Pakistan juga mengecilkan serangan atau menangguhkan untuk melaporkannya.

Tiga ahli akademik China dan pemandu warga Pakistan terbunuh apabila seorang wanita pengebom berani mati meletupkan perantinya ketika mereka memandu ke Institut Confucius Universiti Karachi pada April 2022.