16 Januari 2020 - 18:24
Jerman Sahkan Ugutan A.S Ke Atas Sektor Automotifnya Berhubung Isu JCPOA

Berlin telah mengesahkan laporan bahawa Amerika Syarikat telah mengugut Jerman, Perancis dan Britain - negara-negara E3 - dengan tarif 25 peratus ke atas eksport kereta Eropah jika mereka gagal menuduh Iran melanggar perjanjian nuklear 2015 secara rasmi.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Berlin telah mengesahkan laporan bahawa Amerika Syarikat telah mengugut Jerman, Perancis dan Britain - negara-negara E3 - dengan tarif 25 peratus ke atas eksport kereta Eropah jika mereka gagal menuduh Iran melanggar perjanjian nuklear 2015 secara rasmi.

Pada hari Rabu, Washington Post melaporkan bahawa pentadbiran Presiden A.S Donald Trump telah mengeluarkan ugutan peribadi terhadap negara-negara E3 hanya seminggu sebelum mereka bersama-sama bertindak memulakan mekanisme pertikaian kesepakatan, yang merupakan tuduhan formal ke atas Tehran sebagai pihak yang telah mencabul perjanjian itu.

Perjanjian nuklear - yang dikenali secara rasmi sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) - telah disepakati antara Iran dan lima negara lain - Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Rusia dan China - pada tahun 2015 selepas rundingan yang panjang.

Walaubagaimanapun, Trump pada Mei 2018 secara sepihak telah menarik keluar negaranya daripada JCPOA dan kemudian mengembalikan sekatan yang telah ditarik balik ke atas Tehran sebelum memperkenalkan sekatan baru sambil mendesak penandatangan lain, khususnya negeri-negeri E3, untuk menarik diri daripada perjanjian itu.

Ketiga-tiga negara itu akhirnya tunduk kepada tekanan dan enggan memenuhi kepentingan perniagaan Iran yang dijamin di bawah perjanjian.

Berhubung dengan ugutan A.S yang dilaporkan oleh akhbar harian Washington Post, Menteri Pertahanan Jerman, Annegret Kramp-Karrenbauer mengesahkan pada sidang akhbar pada Khamis bahawa "ungkapan atau ugutan ini..., memang wujud."

Sepanjang tempoh Washington menarik diri daripada JCPOA, Tehran terus mematuhi kesemua komitmen mereka sambil menunggu penandatangan bersama untuk memenuhi komitmen mereka sekaligus mengimbangi ketiadaan Washington di dalam perjanjian itu.

Ketika negara-negara E3 gagal melakukannya, Tehran pada Mei 2019 berindak untuk menangguhkan komitmen JCPOA di bawah Artikel 26 dan 36 perjanjian yang meliputi hak Tehran. Iran mengambil langkah pengurangan komitmen kelima dan muktamad pada awal bulan ini. -Press TV