Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres mengecam rancangan kontroversi Israel untuk mengilhak sebagian besar kawasan Tebing Barat yang mereka duduki sambil memberi amaran bahawa langkah itu akan menutup setiap pintu diplomasi berkaitan "rundingan damai" dengan Palestin-Israel.
Guterres membuat kenyataan tersebut di dalam pertemuan beliau dengan delegasi kumpulan negara-negara Arab termasuk Oman, Liga Arab dan pegawai Palestin, mengecam penempatan Israel. Selain daripada mengecam tindakan tersebut, beliau turut menyifatkannya sebagai tidak sah dari segi perundangan.
Beliau menyatakan bahawa pelan pengilhakkan itu akan "secara efektif mengakhiri (konsep) penyelesaian dua negara dan menutup pintu rundingan di antara Palestin-Israel."
Kumpulan negara-negara Arab di pihak mereka pula turut menegaskan bahawa "semua tindakan pendudukan dan pengilhakkan rejim Israel ke atas wilayah Palestin sebagai melanggar undang-undang."
Pentadbiran Tel Aviv dan ahli politik rejim itu juga dilihat semakin berani dalam meneruskan idea dan program pengilhakkan wilayah Palestin yang mereka duduki ke dalam sempadan mereka setelah Presiden A.S, Donald Trump mengiktiraf kedudukan rejim ke atas wilayah tersebut.
A.S sebelum ini juga telah memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv ke wilayah Palestin yang diduduki oleh rejim Israel sekaligus menimbulkan keraguan umum terhadap kedudukan neutral Washington di dalam memacu proses damai di Timur Tengah.
Pelan "Kesepakatan Abad Ini" yang diusulkan oleh Trump turut menghilangkan kepercayaan umum di rantau itu terhadap keihklasan Washington dan hampir sahaja membunuh konsep penyelesaian dua negara yang sebelum ini turut diperjuangkan oleh pentadbiran terdahulu Washington. -Press TV