5 Jun 2020 - 15:46
AS Lancar Serangan Pertama Terhadap Taliban Lepas Gencatan Senjata

Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara pertama terhadap Taliban selepas gencatan senjata tiga hari sempena Aidilfitri tamat minggu lalu.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara pertama terhadap Taliban selepas gencatan senjata tiga hari sempena Aidilfitri tamat minggu lalu.

Jurucakap tentera AS, Sonny Leggett, dalam ciapan di Twitter, berkata dua serangan dilancarkan semalam dan hari ini di wilayah berasingan di Afghanistan

"Ini adalah serangan udara pertama AS terhadap Taliban selepas gencatan senjata tiga hari berakhir pada 26 Mei lalu, sempena sambutan Aidilfitri.

"Kami ulangi, semua pihak harus mengurangkan keganasan untuk membenarkan proses perdamaian berlangsung," katanya.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada maklum balas dikeluarkan oleh puak Taliban.

Pengumuman gencatan senjata tiga hari oleh Taliban itu mengejutkan pihak berkuasa Afghanistan.

Tindakan itu menyaksikan suasana tenang di seluruh negara, dengan kerajaan Afghanistan memberi komitmen pihaknya bersedia untuk memulakan rundingan damai yang lama tertangguh bersama puak pemberontak itu.

Februari lalu, Washington menandatangani perjanjian penting dengan Taliban, di mana AS berjanji untuk mengundurkan semua tenteranya sebagai balasan terhadap jaminan keselamatan yang dijanjikan mereka. - AFP