23 Jun 2020 - 16:05

India dan China bersetuju kurangkan ketegangan di sempadan, seminggu selepas pergaduhan terburuk dalam tempoh lebih 50 tahun antara tentera kedua-dua negara mengakibatkan 20 tentera India maut.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - India dan China bersetuju kurangkan ketegangan di sempadan, seminggu selepas pergaduhan terburuk dalam tempoh lebih 50 tahun antara tentera kedua-dua negara mengakibatkan 20 tentera India maut.

Pergaduhan secara fizikal dengan bertumbuk, menggunakan belantan dan membaling batu di kawasan persempadanan Himalaya yang dipertikaikan kedua-dua negara itu berlaku pada 15 Jun lalu.

China berkata tenteranya turut menjadi mangsa, tanpa mendedahkan berapa ramai yang cedera atau maut tetapi media India melaporkan, lebih 40 tentera China mungkin terbunuh atau cedera parah.

Selepas tragedi itu, India menghantar pasukan lebih besar termasuk kelengkapan senjata dan jet pejuang ke wilayah yang sememangnya rancak dengan kegiatan tentera, dengan China turut mengambil langkah sama.

Pada masa sama, di India, gesaan supaya memboikot barangan buatan China semakin lantang.

Ini adalah kali pertama kematian dilaporkan walaupun kedua-dua gergasi Asia itu berbalah sejak 1975, sekali gus menandakan masalah terbesar dalam hubungan dua hala.

Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian, berkata dalam rundingan antara komander tertinggi tentera kedua-dua negara semalam, masing-masing bersetuju 'mengambil langkah perlu' bagi meredakan keadaan.

"Perjumpaan ini menunjukkan kedua-dua pihak mahu menyelesaikan pertikaian, menguruskan masalah dan meredakan keadaan menerusi dialog serta rundingan.

"Kedua-dua pihak bertukar pendapat dan berbincang secara mendalam lagi telus serta bersetuju mengekalkan dialog selain memberi komitmen bersama untuk memupuk keamanan dan keharmonian di sempadan," katanya.

Menurut Press Trust of India, perjumpaan diadakan antara Komander 14 Corps, Leftenan Jeneral Harinder Singh dan Komander Tibet Military District, Major Jeneral Liu Lin.

India tidak mengeluarkan kenyataan rasmi tetapi sumber tentera berkata perjumpaan selama 11 jam itu turut mencapai keputusan bersama untuk menarik diri.

Katanya, pendekatan untuk mengurangkan ketegangan di rantau Ladakh yang berhadapan dengan Tibet turut dibincangkan dan akan dipertimbangkan lebih lanjut oleh kedua-dua pihak.

Mesyuarat itu mendahului rundingan antara Menteri Luar India, China dan Russia yang diadakan hari ini, bagi membincangkan isu COVID-19 dan memperingati tarikh berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Walaupun Menteri Luar India, S Jaishankar, tidak menyentuh mengenai pergaduhan dengan China dalam ucapan pembukaannya, rakan sejawatnya dari Russia, Sergei Lavrov, berkata Moscow tidak perlu menjadi penimbang tara antara dua negara itu.

"Saya tidak fikir China atau India perlukan sebarang bantuan," katanya. Russia adalah pembekal utama senjata bagi kedua-dua negara itu.

The Times of India melaporkan, minggu ini di Moscow, Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh, menggesa Russia mempercepatkan penghantaran sistem pertahanan peluru berpandu S-400 selain alat ganti jet pejuang, meriam dan kapal selam. - AFP