7 Julai 2020 - 15:35
Penularan COVID-19 Di Kem Pelarian Rohingya Berjaya Dibendung

Penularan COVID-19 dalam kalangan pelarian Rohingya di kem pelarian berjaya dibendung, menurut kenyataan pihak berkuasa Bangladesh, susulan kebimbangan berhubung jangkitan virus itu.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Penularan COVID-19 dalam kalangan pelarian Rohingya di kem pelarian berjaya dibendung, menurut kenyataan pihak berkuasa Bangladesh, susulan kebimbangan berhubung jangkitan virus itu.

Kira-kira 724 etnik Rohingya menjalani pemeriksaan dan ujian saringan COVID-19 di kem pelarian di Bangladesh, yang menyaksikan 54 orang positif virus terbabit sejak kes pertama dikesan Mei lalu.

Menurut Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh , Mahbub Alam Talukder, pihak berkuasa berjaya membendung penularan dan setakat ini hanya lima kematian direkodkan.

"Manakala di Cox Bazar, 2,776 disahkan dijangkiti virus itu termasuk 60 kematian dalam kalangan 2.4 juta rakyat Bangladesh yang menetap di daerah itu, lokasi di mana kem pelarian ditempatkan," katanya.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah sebenar etnik Rohingya yang mengelak menjalani saringan COVID-19 kerana bimbang akan diasingkan di pulau tebatan banjir di Teluk Benggala, di mana pelarian lain dibawa selepas ditemui di laut.

Dalam pada itu, beberapa kem pelarian dikenakan perintah berkurung selepas kes COVID-19 dikesan, dengan pelarian dilarang meninggalkan kem berkenaan.

Bagaimanapun, ujian tidak diwajibkan dan tidak diketahui jika kadar kematian di kem pelarian dalam kalangan etnik minoriti Islam itu sudah meningkat, malah mangsa yang mati di kem pelarian tidak diuji bagi virus itu. - AFP