7 September 2020 - 13:52
China Pamer Vaksin COVID-19 Buat Pertama Kali

China buat pertama kali mempamerkan vaksin COVID-19 yang dihasilkan negara itu di saat berhadapan pelbagai kritikan mengenai penularan pandemik itu.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - China buat pertama kali mempamerkan vaksin COVID-19 yang dihasilkan negara itu di saat berhadapan pelbagai kritikan mengenai penularan pandemik itu.

Harapan tinggi diletakkan pada botol kecil berisi cecair yang dipamerkan pada Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) di Beijing minggu ini.

Ia adalah iaitu antara vaksin yang dihasilkan oleh syarikat China, Sinovac Biotech dan Sinopharm.

Vaksin berkenaan belum memasuki pasaran, namun syarikat yang menghasilkannya percaya ia akan diluluskan selepas menjalani tiga fasa ujian penting selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Seorang wakil Sinovac memberitahu AFP bahawa syarikat itu sudah 'selesai membina kilang vaksin' yang dijangka mampu menghasilkan 300 juta dos setahun.

Hari ini, pengunjung pameran mengerumuni gerai mempamerkan vaksin yang didakwa bakal menjadi 'pengubah keadaan' itu.

China, yang menghadapi kritikan asing kerana gagal menangani wabak itu pada peringkat awal, kini berusaha memanfaatkan penghasilan vaksin COVID-19 untuk melakar imej baharu untuk negara itu.

Mereka menggunakan pembangunan vaksin untuk mempamerkan semangat juang tinggi dan ketahanan China dalam menghadapi ancaman kesihatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sehingga turut menjejaskan ekonomi global.

Vaksin yang dipamerkan itu adalah antara 10 vaksin dihasilkan di seluruh dunia setakat ini dan sudah memasuki percubaan fasa ketiga, iaitu langkah terakhir sebelum pengeluarannya diluluskan.

Penghasilan vaksin berkesan bagi COVID-19 menjadi harapan besar global ketika kebanyakan negara masih berusaha membendung penularan virus itu dan merancakkan semula sektor ekonomi masing-masing.

Akhbar tabloid China, Global Times, yang memetik kenyataan memetik Pengerusi Sinopharm, melaporkan bulan lalu bahawa harga vaksin akan dipastikan tidak terlalu mahal.

"Harga bagi setiap dua dos vaksin itu akan dipastikan bawah 1,000 yuan (RM607)," katanya yang turut memberitahu media bahawa beliau sudah disuntik dengan vaksin berkenaan.

Agensi berita rasmi China, Xinhua, hari ini melaporkan bahawa beberapa vaksin lain sedang diuji saintis tentera negara itu, yang mampu menangani mutasi pada virus COVID-19.

Sehingga bulan lalu, sekurang-kurangnya 5.7 bilion dos vaksin sedang dibangunkan di seluruh dunia sudah ditempah lebih awal.

Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa vaksin bagi imunisasi secara meluas terhadap COVID-19 hanya akan berada di pasaran pada pertengahan tahun depan. - AFP