6 Julai 2015 - 17:58
Puluhan ribu kutuk sikap masyarakat antarabangsa

Kekejaman Arab Saudi terhadap Yaman berpunca dari sikap masyarakat antarabangsa yang berdiam diri

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Puluhan ribu rakyat Yaman mengadakan demonstrasi di Sana'a bagi mengutuk sikap masyarakat antarabangsa yang masih mengambil sikap berdiam diri terhadap isu keganasan Saudi ke atas Yaman.

Tidak terkecuali ialah pertubuhan PBB yang dituduh mengambil sikap dingin dalam melihat situasi kemanusiaan di Yaman. Para penunjuk perasaan juga melaungkan slogan anti Amerika dan Israel.

Sambil mengangkat pemimpin gerakan Ansarullah, Sayid Abdul Malik al-Houthi, para penunjuk perasaan mengutuk PBB dan menuduh pertubuhan dunia itu sengaja membiarkan darah rakyat Yaman ditumpahkan demi menjaga kepentingan Dollar serta harga minyak.

Turut ditegaskan kepungan darat, udara dan laut ke atas negara Yaman merupakan suatu aib bagi masyarakat antarabangsa.

Selain itu, tindakan PBB berdiam diri dalam jenayah Saudi dan sekatan adalah punca berbagai keganasan rejim Al Saud dan krisis kekurangan bekalan makanan di kalangan rakyat Yaman. Mereka mendesak PBB segera menjalankan tanggung jawabnya dalam menghentikan pencerobohan dan sekatan yang dilakukan rejim Al Saud.

Mereka juga menegaskan rakyat Yaman tidak akan sekali-kali melepaskan hak yang telah mereka raih setelah kemenangan revolusi.

Krisis kemanusiaan di Yaman semakin meruncing setelah lebih 100 hari pakatan Arab yang diketuai rejim Al Saud melakukan serangan dan sekatan ke atas negara miskin itu.