Pakatan Amerika yang memerangi IS sebenarnya telah menambahkan keserakahan pengganas untuk meluaskan kawasan cengkaman mereka sedangkan campurtangan Russia menyebabkan ribuan militan lari ke negara-negara berhampiran. Selain itu ideologi Wahabi tajaan Saudi merupakan pegangan yang dianuti kumpulan pengganas IS dan Jabha Nusra.
Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Presiden Syria Bashar al-Assad dalam temu bual bersama PHEONIX TV dari China menegaskan, "Sejak hari pertama, kami bertekad memerangi keganasan. Kami tidak pernah mempunyai kedudukan apapun, kami mahu perangi terrorisme dan mempertahankan rakyat."
Sambil menceritakan pihaknya telah berjaya memenangi banyak medan tertempuran selama hampir lima tahun ini, beliau mengakui situasi menjadi bertambah baik dengan campurtangan tentera udara Russia sehingga menyebabkan kemaraan prajuritnya membebaskan kawasan-kawasan Syria yang dicengkam pengganas.
Jelasnya lagi, pakatan yang dikepalai Amerika dalam memerangi pengganas IS sebenarnya menyebabkan kumpulan militan itu bertambah rakus meluaskan cengkamannya ke atas wilayah-wilayah lain. Namun penyertaan Russia telah menyebabkan ribuan militan melarikan diri ke Turki, Eropah dan beberapa kawasan di Yaman. Tambah beliau lagi teknik serangan udara yang digunakan Amerika bukanlah strategi ampuh untuk memerangi pengganas, tetapi serangan dari arah darat merupakan cara yang berkesan bagi membasmi pengganas. Meskipun Russia secara zahirnya melancarkan serangan udara seperti Amerika, namun perbezaannya ialah Russia bergabung dengan prajurit Syria yang menyerang di darat sedangkan Amerika tidak bergantung dengan mana-mana operasi atas tanah. Tegas beliau lagi, Amerika tidak ada berhubung dengan pihaknya dalam serangan udara anti militan tersebut.
Dalam wawancara tersebut, beliau mengesahkan IS dan al-Nusra adalah cabang militan al-Qaeda di Afghanistan yang pernah dibentuk dengan dana Arab dan pengawasan Amerika untuk menentang Soviet. Kumpulan-kumpulan militan ini juga menganuti ideologi Wahabi dan tokoh-tokoh Wahabi inilah yang mengirim dana kepada mereka. Segala jenis bekalan logistik untuk membantu militan IS samada dari segi sumber manusia, wang, urusan jual beli minyak melalui Turki adalah kerjasama erat antara personaliti dari Arab Saudi dan Qatar, sedangkan Amerika dan Barat menyaksikan apa yang terjadi.