24 November 2015 - 02:51
Ayatullah Khamenei: Tindakan Putin meningkatkan kepercayaan dunia kepada Russia

Dasar politik Amerika yang membantu pengganas dan konspirasi menggulingkan Bashar Assad menunjukkan kelemahan dasar Washington di peringkat antarabangsa. Sementara itu tindakan Amerika membantu kumpulan pengganas pula banyak merosakkan imej diplomasi negara kuasa angkuh tersebut di mata masyarakat dunia. Dalam pertemuan ini, Tehran dan Moscow bersepakat bahawa nasib Syria hendaklah ditentukan oleh rakyatnya sendiri manakala pihak lain tidak berhak memaksa pandangan mereka diterapkan ke atas negara yang sedang dilanda krisis terrorisme itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatullah Sayid Ali Khamenei menghargai tindakan Moscow dalam isu Syria dan masalah serantau. Beliau berkata, "Sudah lama Amerika memainkan peranan untuk menjahanamkan semua bangsa dan negara terutama sekali Iran dan Russia. Perkara ini perlu ditumpaskan dengan bijaksana dan kerjasama yang lebih erat."

Dalam pertemuan yang berlangsung selama dua jam ini, Khamenei menggelar Putin sebagai tokoh terkemuka dunia hari ini dan mengucapkan terima kasih atas usaha negara tersebut dalam masalah nuklear. "Masalah ini telah tiba ke penghujungnya, namun kami tidak ada kepercayaan sedikitpun kepada Amerika dan dengan mata terbuka, kami mengawasi sikap dan telatah Amerika," tegas beliau.

Mengulas tentang usaha serius Putin meluaskan hubungan dua hala Tehran dan Moscow, Khamenei berkata, "Tingkat kerjasama seperti dalam bidang ekonomi mampu diperluaskan berbanding yang sedia ada."

Sambil memuji prestasi hubungan Tehran - Moscow dalam berbagai isu sejak setahun setengah kebelakangan ini, beliau berkata, "Amerika sentiasa berusaha agar para pesaing yang aktif dijatuhkan, namun anda telah mematahkan usaha mereka itu."

Beliau turut menyifatkan tindakan Russia dalam isu Syria telah meningkatkan kepercayaan rantau ini dan dunia kepada Russia. "Dalam jangka masa yang panjang, Amerika berusaha menguasai Syria dan meluaskan autoritinya di rantau ini. Mereka cuba memaksa sejarah penguasaan Barat ke atas Asia Barat berulang kembali. Peranan ini adalah ancaman semua bangsa dan negara termasuk Russia dan Iran," jelas beliau.

Khamenei menegaskan, "Dalam isu Syria Amerika mencari jalan untuk merealisasikan matlamatnya yang tak berkesampaian. Mereka menyeret operasi keteteraan dalam arena politik dan meja rundingan. Tindakan ini perlu dicegah dengan bijaksana."

Pemimpin Revolusi Islam ini juga menganggap desakan Amerika untuk menyingkirkan Bashar al-Assad yang telah dilantik menjadi presiden yang sah adalah sebuah kedaifan politik Washington di peringkat antarabangsa, "Presiden Syria telah menduduki tampuk pemerintahan berasaskan suara majoriti rakyat Syria yang memiliki berbagai latar belakang politik dan kaum. Amerika tidak ada hak untuk mengabaikan suara dan pilihan rakyat Syria. Sebarang masalah Syria hendaklah dirujuk kepada informasi dan kesepakatan rakyat serta para pegawai negara ini."

Selain itu, tindakan Amerika membantu pengganas seperti militan IS (Negara Islam) secara langsung dan tidak langsung adalah jelas merupakan titik kelemahan Amerika, "Hilang sudah kepercayaan dalam pemikiran umum serantau dan dunia untuk bekerjasama dengan negara-negara yang membantu pengganas. Ini menunjukkan Amerika tidak mempunyai diplomasi yang mulia."

"Kerana itu kami tidak akan ada rundingan dua pihak dengan Amerika samada mengenai Syria atau perkara-perkara lain, melainkan tentang isu nuklear (yang bersangkut paut dengan dalil tertentu)," tegas beliau.

Selain itu, beliau menekankan aspek penyelesaian yang sahih untuk isu Syria yang memberikan kesan terhadap masa depan serantau, "Sekiranya pengganas yang melakukan jenayah ini di Syria ini tidak ditumpaskan, kegiatan mereka akan merebak ke Asia Tengah dan kawasan-kawasan lain."

Dalam pertemuan ini, Presiden Russia menceritakan pengalaman berharga pertemuan beliau dengan Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran ini dan berkata, "Perluasan hubungan dua negara ini dari aspek teknologi, earoangkasa dan teknologi-teknologi kemajuan telah meningkat mendadak. Kami turut menyambut baik tindakan Iran dalam isu keselamatan dan penyelesaian krisis serantau dan dunia."

Sambil memuji Iran sebagai sebuah negara berdaulat, kukuh dan mempunyai imej yang baik, beliau berkata, "Saya anggap anda sekutu yang dapat dipercayai di rantau ini dan dunia."

"Kami juga mengaskan jalan penyelesaian krisis Syria hanyalah dengan cara politik dan penerimaan suara rakyat ini, serta permintaan seluruh kaum dan kumpulan-kumpulannya. Tidak ada siapapun yang berhak menetapkan pandangannya terhadap penduduk negara ini. Format pemerintahan dan nasib mereka hendaklah diserahkan kepada keputusan presiden Syria.

"Sebagaimana yang telah anda katakan Amerika tidak mencapai hasratnya di medan tempur Syria, mereka mula menganjurkan meja rundingan dan kami juga memantau masalah ini," jelas beliau.

Vladimir Putini menegaskan serangan berterusan terhadap gerombolan pengganas di Syria, kerjasama dan kesefahaman Moscow dan Tehran untuk selesaikan masalah Syria amat penting, "Barangsiapa yang mendakwa kononnya mereka mengamalkan demokrasi tidak sepatutnya menentang keputusan pilihanraya di Syria."

Di akhir pertemuan ini, presiden Russia berkenan menghadiahkan sebuah naskah manuskrip al Qur'an paling tua kepada Ayatullah Sayid Ali Khamenei. Khamenei turut melahirkan penghargaan dan terima kasih atas hadiah ini.