9 Disember 2015 - 10:27
Abdullah Hasan khuatir Pemuda UMNO Kedah cuba pengaruh rakyat ke arah militan

Ustaz Abdullah Hasan yang dikenali sebagai ketua Syiah Kedah mengajukan laporan Polis kerana bimbang Ketua Pemuda UMNO cuba pengaruhi rakyat menyertai kumpulan militan IS.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Kehabisan modal bercakap atau cuba pengaruhi rakyat untuk menyertai militan IS (Negara Islam), mungkin itulah punca Ketua Pemuda UMNO Kedah cuba membangkitkan isu Syiah dalam dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO) 2015, kata Abdullah Hasan kepada wartawan ABNA di Pendang, sebentar tadi.

Beliau yang dikenali sebagai ketua Syiah Kedah turut mengajukan laporan polis sebagai bagi menafikan segala tuduhan melulu yang dilemparkan Ketua Pemuda UMNO tersebut bahawa Pendang menjadi "pusat penyebaran Syiah" atau masjid-masjid menjadi platform penyebaran ajaran tersebut.

Dalam laporan polis tersebut, beliau turut mengingatkan mazhab Syiah telah diiktiraf oleh kerajaan Malaysia apabila Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi menandatangani deklarasi Amman pada tahun 2005. Selain itu Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan juga memberikan kebebasan kepada rakyat Malaysia untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Katanya lagi, ada sebilangan pengikut mazhab Syiah di Kedah sudah membuat akuan bersumpah (Statutory Declaration) bahawa mereka taat kepada Perlembagaan Persekutuan sekaligus tidak ingin mencetuskan permusuhan di kalangan umat Islam. Namun beliau melihat Ketua Pemuda UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy tidak mempunyai bukti kukuh ketika menuduh beberapa masjid menjadi platform penyebaran Syiah sebagaimana yang dilaporkan BERNAMA, Berita Harian dan Harian Metro pada 6 dan 7 Disember lalu. Kesal dengan tuduhan tersebut Abdullah juga memohon pihak polis menyisat Shaiful di bawah Kanun Keseksaan 574 perkara 298 (A), kerana berpotensi mencetuskan sikap kebencian Ahlisunnah Wal Jamaah terhadap Syiah yang boleh membawa kepada hukuman penjara selama 2 tahun.

Selain itu, Abdullah juga khuatir kempen anti Syiah yang dilancarkan Shaiful boleh mempengaruhi rakyat Malaysia menyertai militan IS (Negara Islam) untuk pergi ke Syria dengan tujuan membunuh pengikut mazhab Syiah. Perkara ini telah diakui oleh beberapa orang ahli akademik seperti Dr. Syed Farid, pensyarah sosiologi di Universiti Nasional Singapura pada 6 Disember lalu yang meminta kerajaan merenung kembali apakah tindakan melancarkan kempen anti Syiah telah mendorong rakyat Malaysia pergi ke Syria untuk membunuh Syiah di sana.

Sejak tahun 2010 ramai pengikut mazhab Syiah telah ditangkap dengan berbagai pertuduhan. Pada bulan Mac 2014, seramai 114 pengikut mazhab Syiah termasuk wanita dan bayi dimasukkan ke dalam lokap Balai Polis Selama setelah ditangkap di Bukit Ijok Perak ketika menyambut hari kelahiran Sayyidah Zainab (a.s).

Pengikut mazhab Syiah juga dilaporkan tidak dapat hidup aman sebagaimana rakyat Malaysia yang lain apabila menerima ancaman bunuh, imam masjid enggan menandatangai borang nikah, hasutan supaya suami isteri bercerai kerana salah seorang daripada pasangan menjadi pengikut mazhab Syiah dan lain-lain lagi.

Pada bulan September 2013, Dato' Seri Jamil Khir Baharom berkata pengikut mazhab Syiah hanyalah berjumlah 1,500 orang. Statistik ini mengejutkan ramai pihak apabila kempen anti Syiah yang dilancarkan di Malaysia terlalu dahsyat dan melibatkan seluruh agensi kerajaan, minbar masjid, radio, media massa dan lain-lain lagi semata-mata untuk memerangi Syiah yang jumlahnya terlalu sedikit, namun gerakan Wahabi yang sering dikaitkan dengan ekstremisme dan terrorisme tidak diambil perhatian secara serius.

Pada bulan September 2014, Dr. Chandra Mudzaffar berkata, pihak berkuasa Sunni negara ini turut bersubahat dalam mencetuskan konflik mazhab yang menyebabkan kumpulan militan menjadikan Syiah sebagai sasaran yang sah.