27 Disember 2015 - 00:23
Pemimpin pengganas Jaish al-Islam, Zahran Zahran Allouch maut

Seorang pemimpin pengganas yang terkenal dengan kekejamannya dalam siri pembunuhan etnik Syiah terbunuh dalam serangan udara Russia. Kematiannya dijangka melemahkan strategi pengganas yang terbesar di Selatan Syria.

Gambar jenazah pemimpin Jaish al-Islam, Allouch yang tersebar di media sosial

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Beberapa media melaporkan kematian pemimpin pengganas Jaish al-Islam, Zahran Allouch dalam serangan Russia, di Timur Ghouta, Damsyik, Jumaat lalu bersama sepuluh militan yang lain termasuk salah seorang komandan utama dalang kempen anti Assad di Syria.

Kumpulan ini turut mengesahkan kematiannya kepada agensi berita Reuter dalam serangan Russia di sarang persembunyian mereka di Al-Marj, Timur Ghouta.

Sementara itu, pemimpin senior majlis syura Ahrar Sham mengirim ucapan takziah ke atas kematian Allouch yang didakwa musuh Presiden Assad yang paling digeruni.

Sebahagian pihak menganggap kematian Allouch sebagai tamparan hebat ke atas Jaish al-Islam dan kumpulan-kumpulan pengganas lain di Syria.

Selain itu Zahran Allouch terkenal sebagai dalang pembunuhan etnik Syiah secara besar-besaran. Kematian ini bakal mengundang berbagai masalah strategi terhadap anggota pengganas khususnya di wilayah Damsyik.

Jaish al-Islam merupakan kumpulan Takfiri tajaan Arab Saudi yang terbesar di Wilayah Selatan Syria yang berperang dalam pakatan pengganas untuk menggulingkan kerajaan Bashar Assad.