19 Januari 2016 - 12:53
Jenazah pengganas ISIS akhirnya diterima penduduk

Penduduk kampung akhirnya mengizinkan mayat pengganas dikebumikan di kampung mereka.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Penduduk kampung Kedungwungu, Kabupaten Idramayu, Jawa Barat pada mulanya memberi amaran agar jenazah anggota pengganas ISIS tidak dikebumikan di situ akhirnya mengubah keputusan setelah mengadakan perbincangan dengan tokoh agama tempatan.

Menurut keputusan yang dipersetujui, jenazah Ahmad Muhazan dari Desa Kedungwungu, Kabupaten Idramayu, Jawa Barat akan dikuburkan pada hari Khamis depan.

Dalam perbincangan tersebut, penduduk kampung dilaporkan menerima jenazah pengganas tersebut, namun dalam masa yang sama mereka menentang keras kegiatan keganasan atas nama agama.

Penguasa tempatan juga berjanji akan memantau pengebumian jenazah pengganas tersebut dan meminta masyarakatnya agar tidak terjerat fahaman radikalisme, seperti yang dilakukan Ahmad Muhazan.


Sementara itu, keluarga Muhazan melahirkan ucapan terima kasih atas pengizinan tersebut dan sekali lagi memohon maaf kepada rakyat Indonesia, terutamanya mangsa serangan di kawasan Sarinah atas tindakan keji pengganas tersebut.