10 Mac 2016 - 16:55
Pemimpin hadir penutup latihan ketenteraan di Arab Saudi

ASKAR menyaksikan latihan ketenteraan digelar 'Northern Thunder' yang diadakan di sebuah kawasan berhampiran sempadan utara Arab Saudi dengan Iraq. - Foto Reuters

RIYADH: Pemimpin negara Islam dunia berkumpul di Arab Saudi hari ini untuk menyaksikan upacara tamat latihan ketenteraan bagi memerangi keganasan yang berlangsung selama tiga minggu dan disertai 20 negara.

Latihan ketenteraan digelar "Northern Thunder" itu diadakan di sebuah kawasan berhampiran sempadan utara Arab Saudi dengan Iraq.

Ia memfokuskan bagaimana operasi pertempuran dan taktik serangan gerila diselaraskan dalam kalangan negara Islam yang menjadi sekutu terbesar dalam pakatan memerangi keganasan diumumkan kerajaan Arab Saudi Disember lalu.

Televisyen negara Arab menyiarkan imej Raja Salman duduk bersama pemimpin Mesir, Kuwait, Qatar, Senegal, Chad, dan Mauritania. Turut mengambil bahagian dalam latihan "Northern Thunder" ialah tentera dari Turki, Pakistan, Malaysia, Sudan dan Oman. - AP

RAJA Salman (tiga kanan) hadir untuk menyaksikan upacara tamat latihan ketenteraan bagi memerangi keganasan yang berlangsung selama tiga minggu dan disertai 20 negara. - Foto EPA