26 Mac 2016 - 15:26
Miliki majalah militan IS, juru x-ray dijel 12 bulan,

Memiliki majalah militan merupakan satu kesalahan di Malaysia.

KUALA LUMPUR 25 Mac – “Saya harap awak tidak ulangi lagi kesilapan ini dan beritahu kawan-kawan untuk tidak buat kesalahan sama,” itu peringatan yang diberikan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang bekas juru x-ray di sebuah hospital di Perlis, Ahmad Kamil Ghazali, 25, yang mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki majalah berkaitan kumpulan pengganas Negara Islam (IS), Ogos tahun lalu.

Ab. Karim berkata, biarpun penglibatan tertuduh bukan secara langsung dengan kumpulan itu, namun memiliki bahan berkaitan keganasan juga satu kesalahan di negara ini.

“Keganasan yang berlaku boleh memberi kesan kepada ketenteraman awam kerana masyarakat akan hidup dalam ketakutan dan kekacauan,” kata beliau.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Kamil didakwa memiliki 10 bahan penerbitan berkaitan kumpulan IS di hadapan Kompleks Pentadbiran Taman Kechor, Taman Kechor Indah Fasa 2, Jalan Abi Tok Hashim, Kangar, Perlis pada pukul 7.50 pagi, 19 Ogos 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana barangan tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad yang mengendalikan pendakwaan memohon hukuman setimpal dengan melihat faktor kepentingan awam lebih utama berbanding kepentingan peribadi.

Ujarnya, berjihad itu satu yang dituntut tetapi perlulah menggunakan saluran dan maklumat yang betul.

Bagaimanapun, peguam Pyara Singh yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mengalami masalah kemurungan sejak berusia 16 tahun.

Malah, ujarnya, kesalahan yang dilakukan Ahmad Kamil merupakan kesalahan pertama dan dia menyesal atas perbuatan tersebut.

Ab. Karim kemudian memerintahkan Ahmad Kamil menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 19 Ogos 2015.

Mengikut fakta kes, siasatan pihak Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap tablet milik tertuduh yang dirampas pada 19 Ogos lalu didapati mengandungi penerbitan berkaitan perlakuan dan perbuatan kumpulan pengganas IS.

Hasil analisis yang dijalankan terhadap kesemua penerbitan tersebut mendapati ia mempunyai kaitan IS dengan kandungannya digunakan oleh kumpulan pengganas itu sebagai penyebaran perlakuan dan perbuatan IS.