PARIS: Sejumlah besar sekolah menengah di Perancis terpaksa membenarkan pelajar merokok dalam kawasan sekolah sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan ekoran kebimbangan serangan pengganas.
Bagaimanapun, polisi itu mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa, aktivis dan guru sekolah sendiri yang menegaskan pelajar tidak sepatutnya dibenarkan merokok pada waktu sekolah sama sekali.
Seorang ibu kepada pelajar lelaki berusia 16 tahun di sekolah itu, Corinne Depagne membuat laporan jenayah terhadap sekolah anaknya di Lyon, sebuah bandar di tenggara Perancis.
"Walaupun dengan ancaman sedemikian, kamu tidak boleh membenarkan mereka merokok di dalam sekolah," kata Depagne.
Sebaliknya, pihak berkuasa pendidikan merasakan tembakau adalah satu kejahatan tetapi kurang membawa mudarat berbanding risiko menjadi mangsa serangan pengganas.
Pentadbir sekolah bimbang dengan kewujudan ramai remaja sekolah mengambil masa rehat untuk merokok di tepi jalan di luar kawasan sekolah menimbulkan risiko amat tinggi.
Menjelang akhir minggu ini, sebuah mahkamah pentadbiran di luar Paris akan memberikan keputusan membabitkan satu laporan sama berasingan ke atas sebuah sekolah di Courbevoie, kawasan pinggir di barat laut Paris. - AFP