Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Forum "Mengenal mazhab Ibadhi dan praktikal pendekatan mazhab" anjuran Persatuan Hawzah Ilmiyah telah berlangsung di di Pejabat Ayatullah Fadhil Lankarani, Qom, petang Rabu lalu.
Beberapa orang panel seperti Hujjatul Islam Dr. Malak Makan, Prof Farhat al-Ja'bari yang merupakan pemimpin mazhab Ibadhi di Tunisia memberikan ucapan masing-masing dalam forum ini.
Di awal forum, Hujjatul Islam Malak Makan menceritakan sejarah ringkas firqah Ibadhi dan berkata, "Ibadhi merupakan pengikut Abdullah bin Ibadh Tamimi. Beliau hidup di kurun pertama Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 60 atau 85 Hijrah."
Mengenai pemimpin Ibadhi, beliau berkata, "Firqah Ibadhi mengiktiraf dua orang pemimpin mereka, Abdullah bin Ibadhi sebagai pemimpin politik dan Jabir bin Zaid yang menjadi pemimpin pemikiran firqah ini."
Beliau yang juga pensyarah di hawzah dan universiti menjelaskan, "Ibadhi merupakan firqah yang ketiga dalam kurun pertama Hijrah. Mereka percaya bahawa mazhab mereka telah diasaskan di pertengahan kurun ke-pertama Hijrah, di zaman pergolakan khalifah pertama. Mereka memisahkan diri mereka dari firqah Khawarij dan dari segi pemikiran, mereka tidak menerima kepercayaan Khawarij."
Tambah beliau lagi, "Ibadhi merupakan sekolah pemikiran tertua di dunia Islam dan fikah. Fikah Ibadhi ada di dalam komuniti Islam Iran, Jeddah dan Makkah. Meskipun mereka ini minoriti, firqah Ibadhi telah diiktiraf secara rasmi setelah empat firqah Ahlisunnah, Ja'fari, Zaidi dan Zahiri."
Malak Makan mengulas tentang warisan hadis mazhab Ibadhi, "Sejak dari zaman dahulu, mazhab Ibadhi menilai karya warisan dan kitab-kitab fikah. Kitab hadis tertuanya ialah al-Jami' al-Sahih Ibadhi yang ditulis antara tahun 150 - 170 Hijrah dan ianya masih wujud hingga sekarang."
Jelas beliau lagi, populasi mazhab Ibadhi bertebaran ke seluruh pelusuk tanah Arab seperti Oman, Afrika Utara (Tunisia, Algeria, Zanzibar dan Tanzania). Namun majoriti mereka berada di Oman.
Ibadhi sudah wujud sebelum kemunculan Khawarij
Professor Farhat al-Ja'biri dalam forum ini memulakan ucapan dengan mengakui perutusan Nabi Muhammad (s.a.w), salam ke atas keluarga dan sahabat baginda. Beliau mengucapkan penghargaan kepada Hujjatul Islam Malak Makan dan berkata, "Malak Makan menguasai akidah Ibadhi lebih dari ulama firqah ini."
Tambah beliau lagi, "al-Qur'an merupakan sebuah kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (s.a.w) yang ummi dan mengajar al-Qur'an kepada masyarakat. Kitab ini membimbing manusia hingga hari kiamat.
Beliau menjelaskan asal usul perkataan Ibadhi dan berkata, "Mazhab Ibadhi mempunyai ushul akidah dan hal ehwal ibadah manakala sistemnya sempurna. Ulama Ibadhi telah banyak menulis tentang perkara ini.
"Asal usul Ibadhi bermula pada kurun pertama. Abdullah bin Ibadh belajar dari Jabir bin Zaid yang mengambil ilmu dari sahabat Nabi seperti Abdullah bin Abbas.
"Wacana yang memasukkan mazhab Ibadhi dalam kelompok Khawarij merupakan tuduhan yang tidak berasas. Ibadhi tidak menerima perkara ini. Kegiatan kami sudah bermula sebelum Khawarij dan Ibadhi tidak pernah berkerjasama dengan puak Khawarij. Ini disebabkan mereka percaya darah umat Islam adalah haram ditumpahkan dan kami tidak bangkit memerangi umat Islam.
"Noktah paling penting yang menjadi kepercayaan kami ialah isu perpaduan dunia Islam dan perpaduan umat Islam merupakan perbahasan yang paling penting. Ianya dijelaskan dalma kitab Imam Jabir.
"Abdullah bin Ibadh hidup di dalam kurun pertama. Beliau pergi ke berbagai wilayah seperti Afrika Utara dan Khorasan untuk bertabligh. Beliau menulis surat-surat kepada para mubaligh dan pengikutnya. Surat-surat ini adalah sanad bagi kami dna firqah ini merupakan antara firqah pertama dalam Islam yang membentuk dunia Islam.
"Ibadhi berkonfrontasi keras dengan Bani Umayyah. Terdapat surat yang ditulis Abdullah bin Ibadh kepada Ibnu Marwan.
"Al-Mujiz dan al-Dalil wa Burhan merupakan dua kitab penting Ibadhi bagi mempertahankan akidah Ibadhi yang telah ditulis dalam kurun ke enam Hijrah di Utara Afrika. Kedua-dua kitab ini merupakan kitab terpenting bagi pengikut Ibadhi.
"Kitab-kitab seperti Qawa'id al-Islam juga merupakan kitab yang amat penting dalam firqah Ibadhi," tutur beliau.
Di akhir ucapan, beliau menjelaskan, "al-Nail wa Shifa al-'Alil telah ditulis oleh sheikh Abdul Aziz Tsamini dengan topik fikah Muqarin. Ulama ini membahaskan fikah dari dimensi mazhab-mazhab Islam termasuk Syiah. Penulis menerangkan pandangan semua mazhab masalah perbahasan fikah."